Followers

Showing posts with label Dhobtul Quran. Show all posts
Showing posts with label Dhobtul Quran. Show all posts

Sunday, April 25, 2010

HURUF TANWIN (DHOBTUL QURAN)

HURUF TANWIN

Sama ada ianya maqsur (diakhiri dengan ya) ataupun bukan maqsur (tidak diakhiri dengan ya). Adapun yang bukan maqsur sama ada ia ditulis dengan alif ataupun tidak; adapun yang ditulis dengan alif Cuma satu jenis iaitu perkataan yang mansub, hujungnya bukan hamzah ataupun ta’ tanis. Contohnya seperti عليما. Adapun yang tidak ditulis dengan alif pada hujungnya ada 4 :


1. Kalimah mansub yang akhirnya hamzah – ماء


2. Kalimah yang diakhiri dengan ha ta’nis – رحمة


3. Kalimah yang majrur – من غفور


4. Kalimah yang marfu’ – بالمؤمنين رؤوف رحيم



Adapun huruf yang ditulis dengan alif pada hujungnya, padanya terdapat 4 mazhab :



1. Meletakkan tanda baris dan tanwin di atas huruf yang sebelum alif. Inilah mazhab al-Khalil dan Sibaweih dan dipilih oleh sebahagian Masyariqah dan inilah yang diamalkan.



2. Meletakkan tanda baris dan tanwin di atas alif. Inilah yang dipilih oleh Syaikhan dan inilah yang digunapakai oleh Magharibah dan juga penduduk Madinah, Kufah dan Basrah.



3. Meletakkan tanda baris di atas huruf dan tanda tanwin di atas alif.



4. Meletakkan tanda baris di atas huruf dan ditarik ke belakang kembali serta diletakkan tanda tanwin di atas alif.


Adapun pendapat yang ketiga dan yang terakhir itu adalah lemah.




Manakala, jika sesuatu kalimah itu maqsur, maka padanya terdapat 4 mazhab sepertimana yang terdapat pada perkataan yang hujungnya alif yang baru saja kita bicarakan sama ada perkataan itu madmum, majrur ataupun mansub. Dan wajah yang terpilih dan diamalkan juga adalah sama seperti yang dibincangkan sebelum ini.



Manakala, pada kalimah yang seperti ماء padanya terdapat 3 mazhab :


1. Meletakkan hamzah selepas alif dan di atasnya tanda fatah dan tanwin. Inilah wajah yang terpilih.



2. Meletakkan hamzah selepas alif dan selepasnya diletakkan alif kecil dan diletakkan di atas alif kecil tersebut tanda fatah dan tanwin.



3. Meletakkan alif kecil sebelum alif dan di antara keduanya diletakkan hamzah, dan di atas hamzah diletakkan tanda fatah dan tanwin.



Pendapat yang kedua dan ketiga adalah dhaif.

Monday, April 19, 2010

Tanda Baris (Dhobtul Quran)

TANDA-TANDA BERKAITAN BARIS DAN TANWIN



Baris itu terdapat 3 jenis : Atas, bawah dan hadapan.



Baris atas merupakan alif kecil yang diterlentangkan yang ditarik dari kiri ke kanan. Terdapat khilaf pada kedudukannya; ada yang mengatakan ia diletakkan di atas huruf yang berbaris atas dan pendapat inilah yang digunakan, ada juga yang mengatakan ia diletakkan di hadapan huruf tersebut dan ini merupakan pendapat yang dhaif.



Adapun baris atas itu merupakan alif yang dibaringkan adalah supaya tidak terkeliru di antara baris tersebut dan alif, dan ditulis kecil adalah untuk menunjukkan kelebihan yang asal daripada pecahan.



Baris depan merupakan wau kecil dan terdapat perbezaan pendapat pada kedudukannya. Dikatakan baris ini diletakkan di atas huruf yang berbaris hadapan, dan pendapat inilah yang digunakan, ada yang mengatakan diletakkan di hadapan huruf yang berbaris hadapan dan ada yang mengatakan diletakkan pada huruf yang berbaris hadapan dan ini merupakan pendapat yang dha’if.



Adakah kepala wau kecil tadi itu dikekalkan atau tidak? Mazhab Masyariqah mengekalkan kepalanya dan pendapat inilah yang digunapakai manakala Mazhab Magharibah menghazafkannya, maka jadilah ia seperti huruf dal.



Baris bawah merupakan ya yang diterbalikkan. Dan diletakkan di bawah huruf yang berbaris bawah selepas dibuang kepala ya yang terbalik tadi dan juga dua titiknya.



Maka ketiga-tiga baris ini diletakkan pada setiap huruf yang berbaris, sama ada baris itu adalah baris I’rab, Bina’, Baniyyah, Naql ataupun penyelesaian kepada pertemuan dua sukun. Kecuali pada huruf-huruf pembukaan surah, seperti الم، طه، ق dan sebagainya; maka amalan kami ahli Masyariqah adalah dengan tidak meletakkan baris di atasnya, adapun ahli Magharibah membariskannya seperti huruf-huruf yang lain.



Sekiranya sesuatu huruf itu tanwin, ditambahkan ke atas tanda baris satu lagi baris yang sepertinya; ditambahkan di atas fathah itu fathah, kasrah pada kasrah dan dhommah pada dhommah.

Saturday, April 10, 2010

Naqt I'jam (Dhobt)


NAQT I’JAM

Iaitu tanda-tanda yang membezakan satu huruf dengan huruf yang lain, supaya tidak diragukan antara huruf yang bertitik dan huruf yang tidak bertitik.

Huruf yang bertitik ada 15 iaitu : ب، ت، ث، ج، خ، ذ، ز، ش، ض، ظ، غ، ف، ق، ن، ي



Adapun huruf ya tidak diletakkan titiknya pada 5 keadaan :

1. Apabila ia terletak di hujung. Contohnya : محياى

2. Apabila ia menjadi rumah untuk hamzah. Contohnya : لئلا

3. Apabila ia menjadi ganti kepada sesuatu huruf, sama ada di tengah atau di hujung kalimah. Contohnya : هدىهم / تهوى

4. Apabila ia dibuang dengan sebab berkumpulnya dua huruf yang sama dan ya yang dibuang itu ingin dtitulis, sama ada di tengah kalimah atau di hujung. Contohnya : النبيين / يستحيي

5. Apabila ya itu ditulis sebagai tanda kepada silah. Contohnya به كثيرا

Huruf-huruf yang tidak bertitik pula ada 13 iaitu : ا، ح، د، ر، س، ص، ط، ع، ك، ل، م، ه، و



Telah berbeza pendapat tentang siapa yang meletakkan tanda titik ini. Adapun yang paling sahihnya, ia dilakukan oleh Nasr bin ‘Asim dan Yahya bin Ya’mur di bawah perintah al-Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi, pemerintah Iraq pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Abdul Malik bin Marwan.

Sebab diletakkan tanda titik ini adalah sepertimana yang disebutkan oleh para ulama’, pembukaan negara-negara Islam yang baru telah menyebabkan ramai manusia yang bukan dari bangsa Arab menganut agama Islam dan itu telah menyebabkan pertukaran huruf / makna dalam Bahasa Arab. Ditakuti pertukaran itu akan berlaku kepada al-Quran, maka Abdul Malik bin Marwan memerintahkan al-Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi untuk melakukan sesuatu supaya hal yang ditakuti itu tidak terjadi dan juga sebagai langkah untuk menjaga al-Quran. Maka al-Hajjaj memilih Nasr bin ‘Asim dan Yahya bin Ya’mur untuk melakukan tugasan itu, dan mereka berdua pada ketika itu adalah antara ulama’ yang cemerlang dalam ilmu Qiraatdan taujihatnya, Bahasa Arab dan rahsianya, maka mereka pun meletakkan titik-titik ituuntuk membezakan satu huruf dengan huruf yang lain. Dan mereka meletakkan titik ini dengan warna yang sama dengan warna tulisan mushaf untuk membezakan tanda ini dengan tanda yang dibuat oleh Abu Aswad.

Dari sini dapatlah diketahui bahawa Naqt I’rablebih awal muncul daripada Naqt I’jam dengan sebab zaman Ziad dan Abu Aswad adalah lebih awal daripada zaman al-Hajjaj dan Nasr bin A’sim dan Yahya bin Ya’mur.

Skop perbincangan Ilmu Dhobt : Tanda-tanda yang terdapat pada sesuatu huruf sama ada meletakkan baris atau tidak, tempatnya, warnanya dan sebagainya.

Faedah Ilmu Dhobt : Menghilangkan keraguan pada sesuatu huruf, maka tidak bercampur yang bersabdu dan yang tidak bersabdu, yang tidak berbaris dan yang berbaris dan juga yang berbaris atas dengan yang berbaris bawah atau depan.

Tanda-tanda yang diletakkan pada huruf ada 5 : Baris, Sukun, Sabdu, Mad dan Hamzah.

Bagi setiap tanda ini ada keadaan, warna dan tempat yang khusus dan akan diperbincangkan pada tajuk-tajuk yang akan datang, insya-Allah.



Perbezaan antara Ilmu Rasm dan Ilmu Dhobt :



1. Adapun Rasm membincangkan tentang cara-cara untuk memulakan bacaan pada satu-satu kalimah dan bagaimana untuk waqaf kepadanya. Dengan sebab itulah ditulis Hamzah Wasal dan dihazafkan nun tanwin. Contohnya محمد رسول الله. Adapun Dhobt membicarakan tentang penjagaan bacaan ketika wasal kecuali pada beberapa tempat yang akan diterangkan. Dengan sebab itu, tidak ditulis sukun pada nun من ربهم untuk menunjukkan yang ia diidghamkan ketika wasal.



2. Rasm berkaitan dengan huruf-huruf yang terdapat dalam satu kalimah, sama ada ditulis atau dihazafkan, manakala Dhobt membincangkan tentang apa yang mendatang kepada huruf itu sama ada baris, sukun, sabdu dan sebagainya.

Related Posts with Thumbnails