Followers
Sunday, November 17, 2013
PERJALANANKU BERMULA
Monday, August 16, 2010
Masa untuk melancong!! (Jaulah Part 13)
Sunday, January 17, 2010
Galata Tower (Jaulah Part 12)
Kami memutuskan untuk mengalas perut terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Tanpa ragu, kami terus melangkah masuk ke kafe yang terletak di bawah hostel tersebut. Para pekerja di sana sememangnya amat peka dengan setiap pelanggan apabila awal-awal lagi mereka telah memberitahu kami tentang menu-menu non-halal agar kami tidak tersilap menempah makanan. Saya memutuskan untuk menjamah nasi kari ayam sahaja dengan harga TL 10 (RM 23).
Kami memulakan perjalanan pada petang tersebut dengan menyusuri Laut Marmara. Perjalanan kami bermula dari hostel melalui belakang Topkapi Sarayi (Istana Topkapi) sehingga ke Masjid Yeni. Perjalanan tersebut amat meletihkan kerana jaraknya yang agak jauh. Kami mengambil keputusan untuk singgah sebentar di Spice Bazaar yang terletak di belakang masjid tersebut. Di sini saya telah membeli bebrapa keychain untuk dijadikan cenderamata kepada rakan-rakan yang belum berkesmpatan untuk tiba di sana.
Keluar sahaja dari Spice Bazaar, kami mendapati satu kawasan yang menjadi tumpuan kerana terdapat banyak burung merpati di situ. Dengan membayar TL 1 (RM 2.50), kami boleh memberi sepinggan makanan kepada merpati tersebut. Setelah puas bergambar, kami mengambil keputusan untuk melintas Golden Horn melalui Galata Bridge. Kemudian, kami tertarik untuk menaiki Galata Tower dengan bayaran TL 10.
Menara ini pernah dijadikan rumah api pada satu masa dahulu dan pemandangan yang disajikan juga indah kerana dari sini, kita dapat melihat Bosphorus, Golden Horn dan Bandar Istanbul. Setelah puas berpusing-pusing di atas menara itu, kami pun turun ke bawah dan memutuskan untuk kembali ke hostel.
Sunday, December 27, 2009
Metro Turkiye.. (Jaulah Part 11)
Perjalanan yang agak panjang membuatkan saya terlalu bosan berada di dalam bas. Perjalanan tersebut mengambil masa kira-kira 20 jam amat memenatkan. Mujurlah bas tersebut berhenti beberapa kali sepanjang perjalanan. Dapat juga saya dan kawan-kawan melepaskan lelah dan menghilangkan lenguh setelah sekian lama bertapa di dalam bas.
Namun perjalanan ini juga memberikan pengalaman yang manis buat kami kerana pada waktu inilah kami dapat melihat salji buat di depan mata kami buat kali pertama. Ketika bas berhenti, sempat juga kami bermain salji namun tidaklah keterlaluan kerana agak segan dengan penumpang-penumpang yang lain.
Kami tiba di Istanbul sekitar jam 8 pagi. Bas tersebut menurunkan penumpang di Istanbul di dua kawasan. Maklumlah, Istanbul terbahagi kepada dua; bahagian Asia dan juga Eropah. Kami turun di perhentian terakhir iaitu di Eropah memandangkan kami akan menyewa hostel di situ. Ketibaan kami dihurung oleh para pemandu teksi yang berebut-rebut hendak membawa kami ke destinasi yang ingin kami tuju. Memandangkan perjalanan kami pada waktu itu memerlukan kami save budget, maka kami memutuskan untuk menaiki keretapi sahaja.
Sebelum menaiki keretapi, cabaran pertama kami adalah untuk mencari money changer. Agak sukar untuk mencarinya kerana tidak ramai rakyat Turki yang boleh berbahasa Inggeris atau Arab. Setelah berpusing ke sana dan ke sini, akhirnya kami berjaya menemuinya dengan bantuan seorang rakyat Turki.
Kemudian, kami perlu menaiki tren untuk menuju ke hostel kami. Sistem tren di sini menggunakan token sebagai tiket. Kami agak keliru pada mulanya kerana menyangkakan yang token tersebut adalah duit syiling. Setiap token tersebut berharga TL 1.50 (RM 3.50). Dari stesen bas tersebut, kami perlu menaiki tren bawah tanah ke stesen Aksaray. Kemudian, kami perlu berjalan sedikit untuk mencari stesen Aksaray bagi keretapi Hızlı Tramway. Agak susah juga untuk mencari stesen ini kerana kami perlu melalui jalan bawah tanah dan memanjat jejantas.
Kemudian, dari Aksaray kami menaiki tren ke stesen Sultanahmet. Di sinilah kawasan pelancongan utama di Turki kerana di sinilah terletaknya Masjid Biru, Hagia Sofia (Aya Sofia cara sebutannya), dan sebagainya. Rupanya hostel kami terletak berhampiran dengan Masjid Biru dan penempatannya agak selesa dengan harga USD 12 (RM 42) satu malam bagi seorang. Kami memutuskan untuk berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan pada petangnya.
Friday, December 25, 2009
Menuju Istanbul (Jaulah Part 10)
Suasana pada malam itu senyap sekali. Hujan yang turun mencurah membuatkan saya tidak senang duduk. Saya mundar-mandir di dalam bangunan itu menunggu matahari terbit. Tiba-tiba handset saya berbunyi menandakan terdapat reminder. Barulah saya sedar yang hari itu adalah 16 Februari yang juga merupakan birthday abang saya. Setelah mengucapkan selamat hari lahir melalui sms, saya kembali mundar-mandir di dalam bangunan itu.
Setelah pertukaran syif polis, kami kembali semula ke tempat permohonan visa dengan harapan pemohonan kami pada kali ini diluluskan. Alhamdulillah, doa kami dimakbulkan. Petugas tersebut terus saja memberi visa tanpa banyak soal. kami menjadi hairan kenapa petugas pada malam yang sebelumnya terlalu serius dan tidak membenarkan kami memasuki Turki.
Tapi kini terdapat satu lagi masalah yang perlu kami hadapi. Bagaimana kami hendak meneruskan perjalanan ke Antakya untuk kembali kepada bas yang akan membawa kami ke Istanbul. Syukurlah urusan kami pada pagi itu dipermudahkan. Terdapat seorang lelaki yang menaiki kereta yang bersetuju untuk membawa kami ke Antakya. Walaupun bayaran yang dikenakan terlalu mahal iaitu USD 20 (RM 70) seorang, namun kami tiada pilihan lain. Kami terpaksa bersetuju untuk mengikuti pemandu itu.
Dalam masa kurang sejam, kami telah tiba ke perhentian bas Antakya dan kami telah bertemu Calup dan Iylia kembali. Rasa bersyukur yang amat sangat. Setelah kami mengambil tiket, kami mula berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut. Di sini kami telah bertemu dengan seorang rakyat Turki yang telah mengajar kami beberapa bahasa Turki. Agak berbelit lidah untuk menyebutnya kerana memang kami tidak biasa dengan bahasa tersebut.
Bas kami tiba pada waktu petang. Memang tidak sabar rasanya untuk menjejakkan kaki ke Istanbul. Setelah melalui masalah pada pagi tersebut, kami sangat-sangat bersyukur yang kami akhirnya dapat juga bersama-sama meneruskan perjalanan ke Istanbul.
Bersambung..
Thursday, December 24, 2009
Masalah melanda (Jaulah Part 9)
Setelah puas kami tercongok sambil menahan kesejukan, akhirnya bas yang ditunggu pun tiba. Gembira rasa hati tatkala dikhabarkan yang kami sudah boleh menaiki bas. Ditambah lagi dengan Turki yang bermain-main di fikiran kami sejak dari Mesir lagi, sudah cukup membuatkan kami teruja. Tidak lama kemudian, bas tersebut pun memulakan perjalanan.
Menurut jadual yang diterangkan oleh penjaga kaunter bas tersebut, kami akan tiba di Antakya, Turki sekitar jam 8 pagi. Kamudian, kami perlu menunggu beberapa jam untuk menaiki bas yang seterusnya ke Istanbul. Sungguh tidak sabar rasanya. Walaupun begitu, cuma beberapa minit kemudian, saya tertidur dek kerana keletihan yang amat sangat.
Kami tiba di sempadan beberapa jam selepas itu. Cuaca pada waktu itu sangat sejuk kerana hujan baru saja berhenti. Saya menggigil kesejukan, namun kami perlu melangkah keluar untuk menyelesaikan urusan keluar dari Syria. Setelah menyelesaikan bayaran yang saya tidak ingat berapa jumlahnya, kami kembali semula ke atas bas.
Setibanya kami di sempadan Turki, kami perlu turun untuk mendapatkan visa Turki. Di sinilah berlakunya masalah paling besar sepanjang penjelajahan kami. Polis sempadan tersebut tidak mahu meluluskan visa untuk Bedok kerana katanya passport yang dibawanya adalah palsu. Setelah puas kami memujuk dan berbincang, polis tersebut tetap tidak mahu meluluskan visa tersebut.
Oleh kerana masalah tersebut telah menyebabkan bas tersebut menunggu lama, pemandu bas tersebut telah meminta keputusan dari kami, sama ada kami mahu berpecah ataupun kami semua pulang semula ke Syria. Sungguh sedih rasanya. Kalau diikutkan hati, mahu saja saya teruskan perjalanan ke Turki, tetapi saya tidak sampai hati meninggalkan Bedok keseorangan di sana. Maka, keputusan yang dicapai oleh kami, Calup dan Iylia meneruskan perjalanan ke Turki, manakala saya dan Bedok menunggu waktu pertukaran syif polis untuk mencuba nasib pada keesokan hari.
Bersambung..