Followers

Saturday, October 19, 2013

TRAGEDI BERDARAH


Sepatutnya post ini dimuatnaik semalam. Namun apakan daya, kita hanya merancang, Tuhan jualah yang menentukan.

Khutbah Jumaat kelmarin telah menarik minatku. Alhamdulillah, mereka sudah mula menceritakan isu semasa. Bertajuk “TRAGEDI BERDARAH”, ia telah mendapat perhatianku sejak dari muqaddimahnya lagi. Khatib mengingatkan peri pentingnya rakyat Malaysia memelihara keamanan yang telah dikecapi agar kelangsungan hidup yang harmoni akan terus dinikmati. Khutbah dimulakan dengan firman Allah yang bermaksud :

Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu misalan : Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutkan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.
(Surah al-Nahl 16 : 112)

Khatib menjelaskan bahawa perkara ini adalah fitnah (cubaan) sepertimana yang telah diterangkan di dalam hadis yang bermaksud :

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia."
(Hadis Riwayat Muslim)

Realiti hari ini memaparkan penindasan ke atas umat Islam saban hari. Perhatikan konflik di Syria dan di Mesir, di mana penyembelihan manusia seolah-olah menjadi satu kewajipan di negara itu. Pelbagai faktor dikenalpasti sebagai punca tragedi ini. Antaranya, pegangan akidah yang lemah, ajaran sesat yang berleluasa dan kebergantungan masyarakat Islam terhadap bangsa lain terutamanya dalam bidang ekonomi. Pada waktu ini, saya merasakan khatib terlalu lama dalam penenrangan dan sedikit menyimpang dari tajuknya.

Di akhir khutbah, khatib mengingatkan agar kita sama-sama menjaga keamanan negara demi memudahkan kehidupan harian di samping meneruskan pengamalan agama secara mudah. Beliau menyatakan bahawa perkara yang berlaku pada hari ini merupakan rancangan jahat puak Yahudi dan Nasrani sejak sekian lama dan mereka sememangnya bergembira dengan perpecahan umat Islam. Khutbah diakhiri dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya pertunjuk Allah (Ugama Islam) itulah pertunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahi yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.
(Surah al-Baqarah 2 : 120)


Saya merasakan khutbah kali ini kekurangan satu unsur. Khatib sepatutnya menyatakan apakah sumbangan yang mampu dilakukan jemaah dan menaikkan semangat mereka untuk membantu saudara-saudara kita yang tertindas. Marilah kita sama-sama membantu saudara se-Islam di samping berdoa untuk kesejahteraan mereka. Mungkin hari ini mereka memerlukan bantuan kita, esok lusa siapa yang tahu.. 

p/s: Secara peribadi, saya amat gembira dengan khutbah yang disampaikan semalam berbanding sebelum ini yang asyik mendodoikan jemaah dengan isu remeh temeh.

Selesai..

Alhamdulillah, selesai sudah tugasanku kali ini. Aku ditugaskan untuk merekabentuk buku program untuk pelajar lepasan PMR. Bertemakan warna ungu-jingga, aku akhirnya Berjaya juga menyiapkan taklifan yang diserahkan kepadaku. Walaupun setelah dicetak, ia tidak menepati apa yang aku inginkan rentetan kesalahan si tukang cetak, tapi aku bersyukur juga kerana urusanku telah dipermudahkan. Alhamdulillah..



Related Posts with Thumbnails