Followers

Wednesday, August 21, 2013

Andai kau dibangkitkan kelak, apakah kau mampu menipu tuhanmu?

Saat ini kita masih lagi leka dibuai keseronokan. Leka diulit keamanan. Dilimpahi kemewahan, dikelilingi kesenangan. Sentiasa dimomokkan khabar-khabar indah. Seolah keamanan ini akan kekal selamanya. Kita akan sentiasa berada dalam zon selesa. Tiada satu yang akan mengganggu gugat keamanan yang kita kecapi. Kehidupan kita akan sentiasa dan berterusan bahagia.

Tiada salahnya dengan keamanan. Tidak perlu dikecam kehidupan yang selesa. Hidup yang tenteram merupakan impian sekalian manusia. Tiada yang inginkan kehidupan dalam hiruk pikuk peperangan.

Namun, hati ini tidak mampu lagi menanggung keperitan dek melihat saudara-saudara kita disembelih. Peperangan yang mengorbankan nyawa saudara-saudara kita seolah-olah mereka tiada hak sebagai manusia. Darah mereka dibiarkan mengalir begitu sahaja seolah tak berharga. Pemuda, kanak-kanak, wanita dan orang tua dibunuh. Apalah yang ada pada kudrat orang tua? Atas dosa apakah kanak-kanak itu disembelih? Mengapa wanita diperlakukan seperti binatang? Apakah tiada lagi peri kemanusiaan dalam diri mereka?

Apakah yang telah kita buat untuk saudara kita? Apa usaha kita? Apakah inisiatif kita? Adakah kita sekadar melihat? Menyaksikan gambar yang dipaparkan di dada akhbar seolah melihat filem aksi? Sampai bila kita harus berdiam diri? Sampai bila kita harus bersabar? Sampai bila kita hendak memeluk tubuh menjadi penonton kelas pertama kekejaman tersebut? Apakah sehingga kekejaman itu merebak ke negara ini baru kita hendak sedar? Apabila kita merasai sendiri kekejaman itu baru kita hendak mengaku mereka sebagai saudara kita?

Sedarlah wahai umat Islam. Mereka itu saudara seagamamu. Mereka itu juga manusia. Bantulah mereka. Sekurang-kurangnya dengan doa. Bantulah dengan wang ringgit. Bantulah dengan menyebarkan situasi sebenar mereka. berilah bantuan dari segala sudut. Jangan disulitkan lagi keadaan mereka. Jangan membantu tangan-tangan yang menyembelih mereka. Jangan menekan keadaan saudara kita.


Kita masih ada lagi kehidupan di sana. Ingatlah, segala apa perbuatan kita akan disoal. Kejahatan dan kebaikan semuanya akan dibentangkan. Andai kau dibangkitkan kelak, apakah kau mampu menipu tuhanmu? 

Thursday, August 1, 2013

Setiap kesusahan itu pasti disulami kesenangan

Terkadang hidup ini dirasakan indah. Perancangan menjadi kenyataan. Yang dihajati menjadi realiti. Namun ada jua ketikanya hidup ini dirasakan serba tidak kena. Apa sahaja perancangan tidak menjadi. Angan-angan kekal menjadi mimpi.  Begitulah kitaran hidup ini. Ibarat mega yang megah berarak. Ia tidak selalu cerah, namun tidak jua berterusan mendung.

Maka, selaku manusia yang dikurniakan akal, selaku manusia yang dianugerahkan keistimewaan sebagai khilafah, tidak pantas bagi kita mudah berputus asa. Amat tidak wajar bagi seorang insan berasa kecewa dengan hidupnya lantaran masalah yang dating menimpa. Ketahuilah, Allah tidak akan membebankan seseorang melainkan dengan sesuatu yang mampu ia tanggung. Walau sesukar mana kehidupan kita, walau seteruk mana dugaan yang melanda, kita bukanlah insan termalang di dunia. Rahmat Allah itu maha luas. Sesudah hujan yang lebat, pasti mentari kan menjengah.


Jadi, stay positive!
Related Posts with Thumbnails