Sepatutnya post ini dimuatnaik
semalam. Namun apakan daya, kita hanya merancang, Tuhan jualah yang menentukan.
Khutbah Jumaat kelmarin telah
menarik minatku. Alhamdulillah, mereka sudah mula menceritakan isu semasa. Bertajuk
“TRAGEDI BERDARAH”, ia telah mendapat perhatianku sejak dari muqaddimahnya
lagi. Khatib mengingatkan peri pentingnya rakyat Malaysia memelihara keamanan
yang telah dikecapi agar kelangsungan hidup yang harmoni akan terus dinikmati. Khutbah
dimulakan dengan firman Allah yang bermaksud :
Dan (berhubung dengan hal kaum yang
kufur ingkar) Allah memberikan satu misalan : Sebuah negeri yang aman damai dan
tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian
penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya
kelaparan dan ketakutkan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang
mereka telah lakukan.
(Surah al-Nahl 16 : 112)
Khatib menjelaskan bahawa perkara
ini adalah fitnah (cubaan) sepertimana yang telah diterangkan di dalam hadis yang
bermaksud :
Dari Abu
Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud
:"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul
berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang
yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya
kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia."
(Hadis Riwayat Muslim)
Realiti hari ini memaparkan penindasan ke atas umat
Islam saban hari. Perhatikan konflik di Syria dan di Mesir, di mana
penyembelihan manusia seolah-olah menjadi satu kewajipan di negara itu. Pelbagai
faktor dikenalpasti sebagai punca tragedi ini. Antaranya, pegangan akidah yang
lemah, ajaran sesat yang berleluasa dan kebergantungan masyarakat Islam
terhadap bangsa lain terutamanya dalam bidang ekonomi. Pada waktu ini, saya merasakan
khatib terlalu lama dalam penenrangan dan sedikit menyimpang dari tajuknya.
Di akhir khutbah, khatib
mengingatkan agar kita sama-sama menjaga keamanan negara demi memudahkan
kehidupan harian di samping meneruskan pengamalan agama secara mudah. Beliau menyatakan
bahawa perkara yang berlaku pada hari ini merupakan rancangan jahat puak Yahudi
dan Nasrani sejak sekian lama dan mereka sememangnya bergembira dengan
perpecahan umat Islam. Khutbah diakhiri dengan firman Allah s.w.t. yang
bermaksud :
Orang-orang Yahudi dan
Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad)
sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah
(kepada mereka): "Sesungguhnya pertunjuk Allah (Ugama Islam) itulah
pertunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak
hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahi yang memberi) pengetahuan kepadamu
(tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun)
yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.
(Surah al-Baqarah 2 :
120)
Saya merasakan khutbah kali ini kekurangan
satu unsur. Khatib sepatutnya menyatakan apakah sumbangan yang mampu dilakukan
jemaah dan menaikkan semangat mereka untuk membantu saudara-saudara kita yang
tertindas. Marilah kita sama-sama membantu saudara se-Islam di samping berdoa
untuk kesejahteraan mereka. Mungkin hari ini mereka memerlukan bantuan kita,
esok lusa siapa yang tahu..
p/s: Secara peribadi, saya amat gembira dengan khutbah yang disampaikan semalam berbanding sebelum ini yang asyik mendodoikan jemaah dengan isu remeh temeh.