Followers

Thursday, December 16, 2010

Istikharah berdalilkan mimpi?


Artikel berkaitan Istikharah ini saya terbaca dalam laman web Ustadz Zaharuddin. Pencetus ingin tahu betulkah mimpi itu petanda dari hasil Shalat Istikharah? Alhamdulillah melalui artikel ini juga ana mendapat pemahan jelas tentang jawapan-jawapan berkaitan Istikharah. Rasanya ramai di antara kita yang masih keliru tentang konsep ini dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Ikutilah penjelasan Ustaz Zaharuddin ini melalui pertanyaan yang diajukan kepadanya :

Soalan 

Assalamualaikum 

Pertamanya saya ingin mengucapkan syabas atas kejayaan pihak penerbit untuk menwujudkan ruang soal jawab agama, yang diharapkan dapat memenuhi tuntutan ummah untuk mendapatkan kefahaman Islam yang jelas dan tulen. 

Soalan saya berkisarkan tentang solat istikharah. A telahpun berjanji untuk melamar B. Hal ini telah pun membawa kepada perkenalan pihak keluarga antara kedua-dua pihak, sekaligus memberikan harapan besar kepada B. Namun, apabila A melakukan solat istikharah, hasilnya B bukanlah jawapan dari istikharah tersebut. Akhirnya A memutuskan untuk membatalkan janjinya. 

Soalan saya, sejauh manakah kita perlu berpegang dengan keputusan istikharah kita? Sedangkan tindakan A mungkin mendatangkan kemudaratan emosi kepada B dan keluarganya. Adakah wajib untuk kita menuruti petunjuk dari istikharah? 

-Ingin tahu-

Jawapan : 

Istikharah adalah merupakan suatu doa, ia boleh dibuat dengan berdoa sahaja atau solat sunat dan diikuti oleh doa. 

Imam As-syawkani mengatakan ianya disyariatkan di dalam Islam dan tidak diketahui terdapat khilaf padanya (Naylul Awtar, 3/71). Kedua-dua amalan ini mempunyai asas dan amat digalakkan di dalam Islam. Asasnya termaktub di dalam hadith shohih riwayat al-Bukhari (Al-Bukhari, Kitab ad-Da’awat, no 6382; Sohih menurut Al-Bukhari, At-Tirmidzi & Abi Hatim tetapi dhoif menurut Imam Ahmad Hanbal; Shohih dengan shawahid menurut Syeikh Syuaib Arnout), Dari Jabir r.a bahawa Nabi bersabda : “Apa seseorang kamu inginkan sesuatu maka hendaklah ia rukuk ( solat ) dua rak’at yang bukan solat fardhu (yakni solat sunat) kemudian berdoa:

 اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيْمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبُ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنْ هَذَا الأَمْرَ .... خَيْرٌ لِيْ فِي دِيْنِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي عَاجِلَهُ وَآجِلَهُ فَاقْدِرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيْهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ.... شَرٌّ لِي فِي دِيْنِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي عَاجِلَهُ وآجِلَهُ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِيْ  عَنْهُ ، وَاقْدُرهُ لِيْ الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ ارْضِِى بِهِ

Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini  membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.

Perlu juga diingat bahawa :- 

Tidaklah menjadi suatu kemestian di dalam Istikharah; seseorang itu mendapat tanda di dalam mimpi, justeru ia lalu perlu tidur terlebih dahulu. Amalan istikharah sebelum tidur dan kemudian tidur dengan berwudhu bagi mendapat mimpi tanda istikharah adalah hanya cadangan dari Al-Allamah Ibn ‘Abidin (rujuk Hasyiah Ibn ‘Abidin). Manakala ulama Mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali pula menggalakkan istikharah dibuat dalam bentuk yang paling meyakinkan tanpa menyebut “tidur”. Hakikatnya tanda istikharah boleh diperolehi dengan pelbagai cara, antaranya; selepas berdoa atau solat, berbincang dengan orang yang boleh dipercayai dan berpengalaman, juga melihat kepada tanda-tanda sekeliling termasuk bakal pasangan(dalam hal nikah kahwin). 

Solat istikharah 7 kali berturut ; adapun panduan agar solat istikharah dibuat sebanyak 7 kali datang dari sebuah hadith yang dhoif iaitu : “Apabila kamu inginkan sesuatu maka beristikharahlah kepada tuhanmu sebanyak 7 kali kemudian perhatilah petanda / perasaan yang datan terlebih dahulu(dominan) di dalam hatimu” ( Riwayat Ibn Sunni dari Anas, Al-Hafidz Al-‘Iraqi, An-Nawawi, Ibn Hajar mengatakan sanadnya amat lemah, rujuk Fath al-Bari, 11/223 cet Maktabah Risalah Hadithah & Naylul Awtar, 3/71) 

Terdapat juga ulama yang mencadangkan si pembuat istikharah agar jangan mempunyai kecenderungan tertentu kepada salah satu antara dua(atau lebih pilihannya) sebelum membuat istikharah. Demikian pandangan Ibn Hajar Al-‘Asqolani (Fath Al-Bari, 11/223) 

Adapun soalan penanya, sejauh manakah kita perlu berpegang dengan jawapan istikharah, jawapannya tiada sebarang paksaan, malah jika gerak hati kita tiba-tiba berat untuk menolak walapun tanda-tanda menunjukkan “terima”, sebenarnya berat hati menolak itu jugalah tanda hasil istikharah. 

Cuma tidak di nafikan bahawa kemungkinan membenci keputusan hati kita yang berkehendakan sesuatu itu adalah hasil hawa nafsu sebelum istikharah dimulakan, maka tatkala itu adalah digalakkan agar kita menuruti tanda-tanda Istikharah, ia berdalilkan doa yang diajarkan oleh nabi di atas yang menyebut “..berikanlah aku yang terbaik dimana jua ia berada dan jadikanlah daku redha dengannya”, sebutan ini jelas menunjukkan bahawa mungkin nafsu tidak begitu redha dengan keputusan istikharah tetapi kita memohon agar hati menjadi redha kerana keyakinan dengan petunjuk dari Ilahi. 

Mengutamakan keputusan istikharah perlu diutamakan dalam hal ini, tetapi tidaklah sampai ke tahap wajib. Pandangan ini dipilih oleh Syeikh Ahmad Kutty (Senior Lecturer/Imam di Islamic Institute, Toronto). Menurut As-Syawkani, Imam An-Nawawi juga cenderung kepada perlunya seseorang meredhakan dirinya untuk menerima keputusan istikharah yang dibuat. ( Naylul Awtar, 3/71) 

Galakkan menuruti tanda istikharah juga datang dari riwayat hadith Nabi SAW ertinya : “ Salah satu sumber kebahagian anak Adam adalah beristikharah kepada Allah dan redha dengan apa yang ditentukan kepadanya, dan daripada keburukkan anak Adam adalah meninggalkan istikharah kepada Allah dan membenci apa yang telag ditentukan kepadanya” (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi ; Hasan Menurut Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari 11/155 ; Bagaimanapun terdapat perawi dhoif dalam sanadnya kata Syeikh Syuaib ; Rujuk Zad al-Ma’ad , Ibn Qoyyim, 2/406 cet muassasah ar-risalah). Imam Ibn Qoyyim juga mengulas kepentingan tawakkal kepada Allah dengan keputusan yang di dapati dari istikharah, lalu perlu menurutinya . ( Zad al-Ma’ad, 2/406)

Persoalan keputusan itu mendatangkan mudarat kepada orang lain, maka sepatutnya istikharah dibuat sebelum apa-apa langkah pertemuan dengan pihak keluarga dibuat. Dalam hal di atas, kelihatan istikharah dibuat tidak pada masanya. Wallahu ‘alam, dalam keadaan ini perbincangan dan penjelasan antara pihak terlibat perlu dibuat dengan baik bagi menyelesaikan konflik yang berlaku. Bagaimanapun, pada hemat saya, ia perlu bergantung kepada sejauh mana kekuatan petunjuk istikharah itu, dan adakah ia benar-benar kuat agar berpisah atau masih samar-samar kurang jelas. Implikasi sehingga menyebabkan mudarat mental kepada keluarga yang satu lagi juga patut di ambil kira. Bagaimanapun, jika petunjuk kuat dan tepat, maka ia perlualah diutamakan. Wallahu a’lam.


Tuesday, December 7, 2010

Aku Tak Sembahyang, Tetapi Aku Berjaya..


Kita tahu bahawa ilmu itu cahaya, dan tidak akan memasuki hati-hati yang gelap, tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha. Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan duga. Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.

Orang bertanya kepada saya. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar?

Maka saya hendak bertanya kepada anda.

Adakah anda tahu apa itu istidraj?

Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?

Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.

Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Kita lihat contoh yang mudah. Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini hendak menyatakan betapa kayanya dia.

Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.

Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,

"Sesungguhnya aku hanya diberikan harta itu, kerana ilmu yang ada padaku".
(Surah al-Qasas 28 : 78)

Lihat. Lihat apa kata Qarun. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.

Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.

Nah… Apakah itu yang kita mahu?

Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?

Saya yakin, 99% akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”

Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.

Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.

Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.

Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.
Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.

“Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”

ALLAH menjawab,

“Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”

Nah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah studi, gagal dalam perniagaan walau kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Surah al-Ankabut 29 : 2)

Jika gagal terhadap satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.

Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.

Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?

Saya yakin tidak..

Anda tenang sekarang?

Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.

Aku berdosa, tetapi aku berjaya…. Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.

Mari kita sama-sama duduk, dan bermuhasabah semula.

Dicopy dari sini.

Monday, December 6, 2010

Aku dan artis



Acapkali ketika saya menyelak-nyelak akhbar, mata saya pasti akan terlihat ruangan selebriti. Boleh dikatakan, setiap akhbar pastinya akan menyelitkan gosip-gosip panas berkaitan selebriti. Kadangkala timbul persoalan dalam diri saya, apakah faedahnya semua ini? Apa yang kita perolehi dengan “menjaga tepi kain orang”? Hebat sangatkah personaliti setiap artis tersebut sehingga dipuja-puja setiap orang?

Tidak cukup dengan akhbar, saya layari pula internet. Keadaan di sini jauh lebih teruk dari dada akhbar. Lebih banyak informasi tentang artis; tentang gaya hidup,  cara berpakaian malah tidak ketinggalan juga ada antara mereka yang bercakaran. Sungguh, memang saya tidak dapat nampak satu pun faedah yang betul-betul bermanfaat untuk kita semua.

Saya akui, pada satu masa dahulu, ketika saya masih tercari-cari arah saya juga tidak terlepas dengan penangan artis-artis “tersohor” ini. Saya kerap mendengar lagu, tidak ketinggalan menonton filem-filem box-office, membeli majalah-majalah. Saya juga mempunyai artis yang diminati, yang dibenci dan sebagainya. Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saya mula dibayangi persoalan. Persoalan yang berbunyi “Apakah faedahnya?”

Mungkin pertambahan usia mematangkan kita. Semua yang kita lalui setiap hari pastinya mencorakkan hidup kita. Saya kini pelik dengan diri saya pada satu masa dahulu yang sangat obses dengan golongan artis ini. Bahkan kini, saya bertambah pelik dengan golongan belia yang saya kira umurnya sekitar umur saya terkinja-kinja untuk mengetahui perkembangan seseorang artis. Ada yang menyimpan gambar-gambar, malahan ada juga yang mengasaskan fan club. Sungguh, saya hairan dengan semua itu.

Saya tidak tahu apakah yang boleh dibanggakan dengan seorang artis. Ada antara mereka yang popular dengan gambar-gambar “panas”, ada yang terlibat dengan 1001 skandal, ada juga yang terjebak dengan najis dadah, ada yang bangga dapat menayangkan bentuk tubuh badan, ada yang menanggalkan tudung untuk mengikut kehendak skrip malahan ada juga yang sudah berani berbogel kononnya hendak mengikut jalan cerita. Tidak dilupakan juga ada antara mereka yang sudah mula berfatwa seperti golongan cerdik pandai agama.  

Para artis dan hiburan yang dipersembahkan hanyalah fitnah akhir zaman yang melalaikan. Ingatlah firman Allah dalam menerangkan antara ciri-ciri orang beriman yang berjaya adalah :

“Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada yang sia-sia”
(Surah al-Mukinun 23 : 3)

 Walaupun saya tahu tulisan saya ini tidak dibaca ramai dan tidak mendapat sambutan saya berharap kepada mereka yang membacanya dapatlah mengingatkan rakan-rakan yang lain tentang bahayanya budaya hedonisme ini. Sekian.
Related Posts with Thumbnails