Artikel berkaitan Istikharah ini saya terbaca dalam laman web Ustadz Zaharuddin. Pencetus ingin tahu betulkah mimpi itu petanda dari hasil Shalat Istikharah? Alhamdulillah melalui artikel ini juga ana mendapat pemahan jelas tentang jawapan-jawapan berkaitan Istikharah. Rasanya ramai di antara kita yang masih keliru tentang konsep ini dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Ikutilah penjelasan Ustaz Zaharuddin ini melalui pertanyaan yang diajukan kepadanya :
Soalan
Assalamualaikum
Pertamanya saya ingin mengucapkan syabas atas kejayaan pihak penerbit untuk menwujudkan ruang soal jawab agama, yang diharapkan dapat memenuhi tuntutan ummah untuk mendapatkan kefahaman Islam yang jelas dan tulen.
Soalan saya berkisarkan tentang solat istikharah. A telahpun berjanji untuk melamar B. Hal ini telah pun membawa kepada perkenalan pihak keluarga antara kedua-dua pihak, sekaligus memberikan harapan besar kepada B. Namun, apabila A melakukan solat istikharah, hasilnya B bukanlah jawapan dari istikharah tersebut. Akhirnya A memutuskan untuk membatalkan janjinya.
Soalan saya, sejauh manakah kita perlu berpegang dengan keputusan istikharah kita? Sedangkan tindakan A mungkin mendatangkan kemudaratan emosi kepada B dan keluarganya. Adakah wajib untuk kita menuruti petunjuk dari istikharah?
-Ingin tahu-
Jawapan :
Istikharah adalah merupakan suatu doa, ia boleh dibuat dengan berdoa sahaja atau solat sunat dan diikuti oleh doa.
Imam As-syawkani mengatakan ianya disyariatkan di dalam Islam dan tidak diketahui terdapat khilaf padanya (Naylul Awtar, 3/71). Kedua-dua amalan ini mempunyai asas dan amat digalakkan di dalam Islam. Asasnya termaktub di dalam hadith shohih riwayat al-Bukhari (Al-Bukhari, Kitab ad-Da’awat, no 6382; Sohih menurut Al-Bukhari, At-Tirmidzi & Abi Hatim tetapi dhoif menurut Imam Ahmad Hanbal; Shohih dengan shawahid menurut Syeikh Syuaib Arnout), Dari Jabir r.a bahawa Nabi bersabda : “Apa seseorang kamu inginkan sesuatu maka hendaklah ia rukuk ( solat ) dua rak’at yang bukan solat fardhu (yakni solat sunat) kemudian berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيْمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبُ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنْ هَذَا الأَمْرَ .... خَيْرٌ لِيْ فِي دِيْنِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي عَاجِلَهُ وَآجِلَهُ فَاقْدِرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيْهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ.... شَرٌّ لِي فِي دِيْنِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي عَاجِلَهُ وآجِلَهُ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِيْ عَنْهُ ، وَاقْدُرهُ لِيْ الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ ارْضِِى بِهِ
“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.”
Perlu juga diingat bahawa :-
Tidaklah menjadi suatu kemestian di dalam Istikharah; seseorang itu mendapat tanda di dalam mimpi, justeru ia lalu perlu tidur terlebih dahulu. Amalan istikharah sebelum tidur dan kemudian tidur dengan berwudhu bagi mendapat mimpi tanda istikharah adalah hanya cadangan dari Al-Allamah Ibn ‘Abidin (rujuk Hasyiah Ibn ‘Abidin). Manakala ulama Mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali pula menggalakkan istikharah dibuat dalam bentuk yang paling meyakinkan tanpa menyebut “tidur”. Hakikatnya tanda istikharah boleh diperolehi dengan pelbagai cara, antaranya; selepas berdoa atau solat, berbincang dengan orang yang boleh dipercayai dan berpengalaman, juga melihat kepada tanda-tanda sekeliling termasuk bakal pasangan(dalam hal nikah kahwin).
Solat istikharah 7 kali berturut ; adapun panduan agar solat istikharah dibuat sebanyak 7 kali datang dari sebuah hadith yang dhoif iaitu : “Apabila kamu inginkan sesuatu maka beristikharahlah kepada tuhanmu sebanyak 7 kali kemudian perhatilah petanda / perasaan yang datan terlebih dahulu(dominan) di dalam hatimu” ( Riwayat Ibn Sunni dari Anas, Al-Hafidz Al-‘Iraqi, An-Nawawi, Ibn Hajar mengatakan sanadnya amat lemah, rujuk Fath al-Bari, 11/223 cet Maktabah Risalah Hadithah & Naylul Awtar, 3/71)
Terdapat juga ulama yang mencadangkan si pembuat istikharah agar jangan mempunyai kecenderungan tertentu kepada salah satu antara dua(atau lebih pilihannya) sebelum membuat istikharah. Demikian pandangan Ibn Hajar Al-‘Asqolani (Fath Al-Bari, 11/223)
Adapun soalan penanya, sejauh manakah kita perlu berpegang dengan jawapan istikharah, jawapannya tiada sebarang paksaan, malah jika gerak hati kita tiba-tiba berat untuk menolak walapun tanda-tanda menunjukkan “terima”, sebenarnya berat hati menolak itu jugalah tanda hasil istikharah.
Cuma tidak di nafikan bahawa kemungkinan membenci keputusan hati kita yang berkehendakan sesuatu itu adalah hasil hawa nafsu sebelum istikharah dimulakan, maka tatkala itu adalah digalakkan agar kita menuruti tanda-tanda Istikharah, ia berdalilkan doa yang diajarkan oleh nabi di atas yang menyebut “..berikanlah aku yang terbaik dimana jua ia berada dan jadikanlah daku redha dengannya”, sebutan ini jelas menunjukkan bahawa mungkin nafsu tidak begitu redha dengan keputusan istikharah tetapi kita memohon agar hati menjadi redha kerana keyakinan dengan petunjuk dari Ilahi.
Mengutamakan keputusan istikharah perlu diutamakan dalam hal ini, tetapi tidaklah sampai ke tahap wajib. Pandangan ini dipilih oleh Syeikh Ahmad Kutty (Senior Lecturer/Imam di Islamic Institute, Toronto). Menurut As-Syawkani, Imam An-Nawawi juga cenderung kepada perlunya seseorang meredhakan dirinya untuk menerima keputusan istikharah yang dibuat. ( Naylul Awtar, 3/71)
Galakkan menuruti tanda istikharah juga datang dari riwayat hadith Nabi SAW ertinya : “ Salah satu sumber kebahagian anak Adam adalah beristikharah kepada Allah dan redha dengan apa yang ditentukan kepadanya, dan daripada keburukkan anak Adam adalah meninggalkan istikharah kepada Allah dan membenci apa yang telag ditentukan kepadanya” (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi ; Hasan Menurut Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari 11/155 ; Bagaimanapun terdapat perawi dhoif dalam sanadnya kata Syeikh Syuaib ; Rujuk Zad al-Ma’ad , Ibn Qoyyim, 2/406 cet muassasah ar-risalah). Imam Ibn Qoyyim juga mengulas kepentingan tawakkal kepada Allah dengan keputusan yang di dapati dari istikharah, lalu perlu menurutinya . ( Zad al-Ma’ad, 2/406)
Persoalan keputusan itu mendatangkan mudarat kepada orang lain, maka sepatutnya istikharah dibuat sebelum apa-apa langkah pertemuan dengan pihak keluarga dibuat. Dalam hal di atas, kelihatan istikharah dibuat tidak pada masanya. Wallahu ‘alam, dalam keadaan ini perbincangan dan penjelasan antara pihak terlibat perlu dibuat dengan baik bagi menyelesaikan konflik yang berlaku. Bagaimanapun, pada hemat saya, ia perlu bergantung kepada sejauh mana kekuatan petunjuk istikharah itu, dan adakah ia benar-benar kuat agar berpisah atau masih samar-samar kurang jelas. Implikasi sehingga menyebabkan mudarat mental kepada keluarga yang satu lagi juga patut di ambil kira. Bagaimanapun, jika petunjuk kuat dan tepat, maka ia perlualah diutamakan. Wallahu a’lam.
2 comments:
cm nk kwin dh ko ni..hahaha
istikharah bukan sekadar untuk kahwin..
huhu
Post a Comment