Followers

Wednesday, August 28, 2013

MINGGU AKTIVITI

Minggu ini merupakan minggu yang agak tenang sedikit untukku memandangkan dalam masa seminggu ini aku tidak perlu masuk ke kelas untuk mengajar. Bukanlah aku tak minat mengajar di kelas, cuma minggu ini agak ‘relax’ kerana tiada proses pnp pada minggu ini. Kepada mereka yang tak tahu, MRSM setiap tahun mengadakan minggu aktiviti 2 kali, iaitu sekali pada setiap penggal. Pada minggu ini tiada kelas dan hanya dipenuhi dengan aktiviti. Guru ke sekolah pun tidak perlu mengenakan kemeja. Cukup sekadar baju t-shirt berkolar.

Pada minggu aktiviti kali ini, penglibatanku banyak sedikit berbanding yang sebelum ini. Maklumlah, sebelum ini mungkin guru baru, jadi masih tidak memahami perjalanan program di MRSM ini. Minggu aktiviti kali ini dimulakan dengan sambutan hari raya. Setiap jabatan dan kelas membuat ‘rumah terbuka’. Setiap rumah terbuka tersebut ada menu wajib yang perlu disediakan. Contohnya, Jabatan Pengajian Islam perlu menyediakan Nasi Arab, Nasi Minyak dan Nasi Dagang. Aku yang sememangnya agak lapar pada waktu itu telah singgah ke setiap rumah terbuka tersebut dan mencuba semua menu wajib. Maka haruslah selepas itu aku sakit perut. Urgh~~

Pada hari kedua, aku terlibat dengan Pesta Bahasa Arab untuk tingkatan 2. Pelajar diberikan tugas untuk mencipta lagu bagi tasrif fe’el madhi (past tense), mudhari’ (present tense) dan amar (kata perintah). Bermacam-macam lagu yang aku dengar pagi tu. Kelas di bawah bimbinganku (2F) telah menggunakan irama lagu dikir yang terkenal (wau bulae). Tetapi yang paling menarik perhatian pada hari itu merupakan kelas 2B yang menggunakan lagu Gangnam Style! Memang style habisss..

Hari ketiga aku terlibat dengan projek School Enrichment Model (SEM). Pelajar tingkatan 4 perlu menyediakan tesis untuk satu kajian sains. Aku yang merupakan penasihat untuk 3 kumpulan sem ini pun agak pening kepala. Aku perlu menghakimi 23 projek sains. Pelbagai jenis projek yang aku teliti. Ada yang dapat difahami dengan mudah da nada juga yang tidak difahami olehku. Penilaian yang sepatutnya hanya sejam telah terlajak menjadi empat jam! Memang patutla aku balik terus pengsan…

Pagi ini merupakan hari keempat. Pagi-pagi lagi aku terlibat dengan program mentor Bahasa Arab. Pelajar yang markahnya kurang menyerlah berbanding pelajar lain diberi mentor untuk membimbing mereka meningkatkan lagi pencapaian mereka di dalam subjek Bahasa Arab. Semoga aku diberi idea untuk menggilap bakat mereka.


Setakat ini sahajalah minggu aktiviti. Masih banyak lagi aktiviti yang akan dijalankan dan telah dijalankan yang tidak aku ceritakan di sini. Aku hanya menceritakan program-program yang melibatkan diriku sahaja. Minggu aktiviti ini akan tamat besok petang, insya-Allah. Semoga program ini akan berjalan dengan lancer dan jayanya. Sekian…

Wednesday, August 21, 2013

Andai kau dibangkitkan kelak, apakah kau mampu menipu tuhanmu?

Saat ini kita masih lagi leka dibuai keseronokan. Leka diulit keamanan. Dilimpahi kemewahan, dikelilingi kesenangan. Sentiasa dimomokkan khabar-khabar indah. Seolah keamanan ini akan kekal selamanya. Kita akan sentiasa berada dalam zon selesa. Tiada satu yang akan mengganggu gugat keamanan yang kita kecapi. Kehidupan kita akan sentiasa dan berterusan bahagia.

Tiada salahnya dengan keamanan. Tidak perlu dikecam kehidupan yang selesa. Hidup yang tenteram merupakan impian sekalian manusia. Tiada yang inginkan kehidupan dalam hiruk pikuk peperangan.

Namun, hati ini tidak mampu lagi menanggung keperitan dek melihat saudara-saudara kita disembelih. Peperangan yang mengorbankan nyawa saudara-saudara kita seolah-olah mereka tiada hak sebagai manusia. Darah mereka dibiarkan mengalir begitu sahaja seolah tak berharga. Pemuda, kanak-kanak, wanita dan orang tua dibunuh. Apalah yang ada pada kudrat orang tua? Atas dosa apakah kanak-kanak itu disembelih? Mengapa wanita diperlakukan seperti binatang? Apakah tiada lagi peri kemanusiaan dalam diri mereka?

Apakah yang telah kita buat untuk saudara kita? Apa usaha kita? Apakah inisiatif kita? Adakah kita sekadar melihat? Menyaksikan gambar yang dipaparkan di dada akhbar seolah melihat filem aksi? Sampai bila kita harus berdiam diri? Sampai bila kita harus bersabar? Sampai bila kita hendak memeluk tubuh menjadi penonton kelas pertama kekejaman tersebut? Apakah sehingga kekejaman itu merebak ke negara ini baru kita hendak sedar? Apabila kita merasai sendiri kekejaman itu baru kita hendak mengaku mereka sebagai saudara kita?

Sedarlah wahai umat Islam. Mereka itu saudara seagamamu. Mereka itu juga manusia. Bantulah mereka. Sekurang-kurangnya dengan doa. Bantulah dengan wang ringgit. Bantulah dengan menyebarkan situasi sebenar mereka. berilah bantuan dari segala sudut. Jangan disulitkan lagi keadaan mereka. Jangan membantu tangan-tangan yang menyembelih mereka. Jangan menekan keadaan saudara kita.


Kita masih ada lagi kehidupan di sana. Ingatlah, segala apa perbuatan kita akan disoal. Kejahatan dan kebaikan semuanya akan dibentangkan. Andai kau dibangkitkan kelak, apakah kau mampu menipu tuhanmu? 

Thursday, August 1, 2013

Setiap kesusahan itu pasti disulami kesenangan

Terkadang hidup ini dirasakan indah. Perancangan menjadi kenyataan. Yang dihajati menjadi realiti. Namun ada jua ketikanya hidup ini dirasakan serba tidak kena. Apa sahaja perancangan tidak menjadi. Angan-angan kekal menjadi mimpi.  Begitulah kitaran hidup ini. Ibarat mega yang megah berarak. Ia tidak selalu cerah, namun tidak jua berterusan mendung.

Maka, selaku manusia yang dikurniakan akal, selaku manusia yang dianugerahkan keistimewaan sebagai khilafah, tidak pantas bagi kita mudah berputus asa. Amat tidak wajar bagi seorang insan berasa kecewa dengan hidupnya lantaran masalah yang dating menimpa. Ketahuilah, Allah tidak akan membebankan seseorang melainkan dengan sesuatu yang mampu ia tanggung. Walau sesukar mana kehidupan kita, walau seteruk mana dugaan yang melanda, kita bukanlah insan termalang di dunia. Rahmat Allah itu maha luas. Sesudah hujan yang lebat, pasti mentari kan menjengah.


Jadi, stay positive!
Related Posts with Thumbnails