Saat
ini kita masih lagi leka dibuai keseronokan. Leka diulit keamanan. Dilimpahi kemewahan,
dikelilingi kesenangan. Sentiasa dimomokkan khabar-khabar indah. Seolah keamanan
ini akan kekal selamanya. Kita akan sentiasa berada dalam zon selesa. Tiada satu
yang akan mengganggu gugat keamanan yang kita kecapi. Kehidupan kita akan
sentiasa dan berterusan bahagia.
Tiada
salahnya dengan keamanan. Tidak perlu dikecam kehidupan yang selesa. Hidup yang
tenteram merupakan impian sekalian manusia. Tiada yang inginkan kehidupan dalam
hiruk pikuk peperangan.
Namun,
hati ini tidak mampu lagi menanggung keperitan dek melihat saudara-saudara kita
disembelih. Peperangan yang mengorbankan nyawa saudara-saudara kita seolah-olah
mereka tiada hak sebagai manusia. Darah mereka dibiarkan mengalir begitu sahaja
seolah tak berharga. Pemuda, kanak-kanak, wanita dan orang tua dibunuh. Apalah yang
ada pada kudrat orang tua? Atas dosa apakah kanak-kanak itu disembelih? Mengapa
wanita diperlakukan seperti binatang? Apakah tiada lagi peri kemanusiaan dalam
diri mereka?
Apakah
yang telah kita buat untuk saudara kita? Apa usaha kita? Apakah inisiatif kita?
Adakah kita sekadar melihat? Menyaksikan gambar yang dipaparkan di dada akhbar
seolah melihat filem aksi? Sampai bila kita harus berdiam diri? Sampai bila
kita harus bersabar? Sampai bila kita hendak memeluk tubuh menjadi penonton
kelas pertama kekejaman tersebut? Apakah sehingga kekejaman itu merebak ke negara
ini baru kita hendak sedar? Apabila kita merasai sendiri kekejaman itu baru
kita hendak mengaku mereka sebagai saudara kita?
Sedarlah
wahai umat Islam. Mereka itu saudara seagamamu. Mereka itu juga manusia. Bantulah
mereka. Sekurang-kurangnya dengan doa. Bantulah dengan wang ringgit. Bantulah dengan
menyebarkan situasi sebenar mereka. berilah bantuan dari segala sudut. Jangan disulitkan lagi keadaan mereka. Jangan
membantu tangan-tangan yang menyembelih mereka. Jangan menekan keadaan
saudara kita.
Kita
masih ada lagi kehidupan di sana. Ingatlah, segala apa perbuatan kita akan
disoal. Kejahatan dan kebaikan semuanya akan dibentangkan. Andai kau
dibangkitkan kelak, apakah kau mampu menipu tuhanmu?
No comments:
Post a Comment