Followers

Wednesday, November 2, 2011

Bagaimana menyikapi perbezaan pendapat (Adab al-Ikhtilaf) Part 1


PENGENALAN

Manusia sebagai khalifah di muka bumi telah diberikan akal dan hawa nafsu untuk memandu kehidupan mereka di muka bumi. Akal dan nafsu keduanya sentiasa bertentangan. Akal digunakan untuk berfikir dan merancang, manakala nafsu pula merupakan satu keperluan tetapi ia sering mengajak ke arah kehancuran. Akal tidak dapat menjamin kebaikan sekiranya kita tidak menggunakannya mengikut landasan syariat Allah s.w.t.

Variasi gaya pemikiran setiap manusia telah menatijahkan perbezaan pendapat. Perbezaan ini pasti akan berterusan sepanjang zaman, bahkan pada zaman Rasulullah s.a.w. juga telah diriwayatkan terdapat perbezaan riwayat. Ini dapat dilihat daripada kisah para sahabat yang diriwayatkan ketika peperangan Ahzab; ketika mana Rasulullah s.a.w. bersabda :

لَا يُصَلِّيَنَّ أَحَدٌ الْعَصْرَ إِلَّا فِي بَنِي قُرَيْظَةَ

Maksudnya : Janganlah salah seorang dari kalian solat Asar kecuali di perkampungan Bani Quraizah.

(Riwayat al-Bukhari)

Ketika para sahabat masih lagi dalam perjalanan ke perkampungan Bani Quraizah masuklah waktu Asar. Maka sebahagian sahabat beramal dengan zahir hadis; mereka meneruskan perjalanan tanpa menunaikan solat Asar dahulu, manakala sebahagian yang lain menunaikan solat Asar kerana mereka berpendapat hadis tersebut menyuruh mereka bersegera ke perkampungan Bani Quraizah. Setelah berita ini sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w., baginda tidak mencela seorang pun dari mereka.

MAKNA IKHTILAF

Ikhtilaf dalam Bahasa Arab bermaksud tidak sependapat atas sesuatu perkara. Dalam ertikata lain, setiap orang mengambil pendekatan yang berbeza sama ada dalam perkataan ataupun pendapat. Ia juga bermaksud tidak sama. Oleh itu, setiap yang tidak sama bolehlah dikatakan ikhtilaf. Manakala perkataan khilaf pertentangan atau berlawanan. Maksudnya lebih kurang sama dengan ikhtilaf cuma skopnya lebih umum. Khilaf (berlawanan) itu sebahagian daripada ikhtilaf (berbeza) kerana tidak semestinya sesuatu perkara yang berbeza itu berlawanan tetapi sesuatu yang berlawanan itu tentunya berbeza.

Imam Abu Ishak al-Syatibi r.a. memberikan pandangan yang tersendiri dalam memberikan takrifan bagi kedua-dua perkataan ini. Beliau berpendapat khilaf merupakan sesuatu yang lahir dari hawa nafsu yang menyesatkan, bukannya daripada mencari objektif syara’ (Maqasid Syari’ah) dengan mengikut dalil-dalilnya. Oleh itu, ia tidak diambil kira kerana lahir dari hawa nafsu sepertimana tidak diambil kira mana-mana perndapat yang menyalahi hukum syara’ yang sabit secara qat’ie. Ikhtilaf pula bermaksud pendapat-pendapat yang lahir daripada ulama’ mujtahidin dalam masalah-masalah ijtihadiyyah yang tiada nas qat’ie padanya atau pendapat-pendapat terhadap masalah-masalah yang berlaku antara dua pihak yang jelas bertentangan menurut pandangan mujtahidin disebabkan tersembunyi sebahagian dalil-dalil dan tidak ditemuinya.

Namun ini hanyalah pendapat al-Syatibi tanpa ada dalil yang menguatkannya. Para fuqaha’ telah bersepakat menggunakan perkataan khilaf dan ikhtilaf untuk satu maksud yang sama iaitu sesuatu yang tidak disepakati oleh para fuqaha’ dalam masalah-masalah ijtihad tanpa memandang betul, salah ataupun ganjil pendapat yang diperkatakan itu. Selain itu, para fuqaha’ juga menggunakan istilah at-tanazu’ untuk makna yang sama.

Bersambung....

No comments:

Related Posts with Thumbnails