Followers

Friday, November 18, 2011

Bagaimana menyikapi perbezaan pendapat (Adab al-Ikhtilaf) Part 3

SEBAB IKHTILAF

Punca berlakunya khilaf dalam kalangan ulama’ bolehlah dibahagikan kepada dua iaitu :

1) Faktor Bukan Ilmiah

Inilah ikhtilaf yang tercela dan tidak diterima dalam Islam. Ia didorong oleh hawa nafsu yang dikuasai oleh syaitan melalui sifat mazmumah yang keji dalam diri manusia. Antara ciri-ciri yang termasuk dalam faktor ini adalah :

i) Hasad dengki yang didorong oleh permusuhan peribadi.

Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan umatnya mengenai perkara ini menerusi hadisnya yang berbunyi :

دب اليكم داء الامم قبلكم، الحسد والبغضاء، والبغضاء هي الحالقة، لا أقول تحلق الشعر ولكن تحلق الدين

Maksudnya : Telah berjangkit kepada kamu penyakit umat-umat sebelum kamu, (iaitu penyakit) hasad dan permusuhan, sedangkan permusuhan itulah pencukur. Ketahuilah! Bahawa aku bukan mengatakan ia pencukur rambut, tetapi mencukur (pegangan) agama.

(Riwayat at-Tirmizi)

ii) Kejahilan yang dipengaruhi sifat bohong dan khianat.

Faktor ini juga telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. menerusi hadis baginda:

سيأتي على الناس زمان سنوات خداعات: يصدق فيها الكاذب ويكذب فيها الصادق، ويؤتمن فيها الخائن ويخون فيها الأمين، وينطق فيها الرويبضة. قيل يا رسول الله وما الرويبضة؟ قال: الرجل التافه ينطق في أمر العامة

Maksudnya : Akan datang kepada manusia tahun-tahun penipuan, (di mana) pembohong akan dipercayai sedangkan yang benar didustai, pengkhianat akan dipercayai sedangkan yang jujur dikhianati, dan akan bercakap pada masa itu Ar-Ruwaibidhah. (Baginda) ditanya: “Siapakah itu Ar-Ruwaibidhah?” Baginda menjawab: “Lelaki lekeh (jahil) yang bercakap dalam urusan (yang membabitkan kepentingan) umum.

(Riwayat Ibnu Majah)

Kedua-dua faktor ini, seperti yang telah dinyatakan tadi merupakan daripada bahagian ikhtilaf yang tercela. Ia bukanlah terhasil daripada sifat ikhlas untuk mencari kebenaran dan perasaan amanah dalam ilmu bahkan lebih kepada rasa dengki, ujub, cintakan populariti, taksub dan khianat. Dengan semangat ingin menonjolkan diri meluap-luap, ditambah lagi dengan ideologi yang gila, mereka akan sewenang-wenangnya menggunakan fakta yang pernah didengari tanpa merujuk kesahihan fakta tersebut. Hasilnya perpecahan akan semakin melebar dan umat Islam menjadi semakin lemah. Contohnya, golongan Syiah yang sanggup menghasilkan hadis-hadis palsu dan golongan Muktazilah yang mereka cipta qiraat sendiri untuk menjadikan perjuangan mereka tampak benar. Inilah seburuk-buruk perjuangan yang tidak mendatangkan faedah kepada pejuangnya. Allah berfirman dalam al-Quran :

وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَـٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡ‌ۖ

Maksudnya : Dan (sebenarnya) tidaklah berselisih tentang kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana hasad dengki sesama sendiri.

(Surah al-Baqarah 2 : 213)

No comments:

Related Posts with Thumbnails