Orang kita memang terlalu rigid dengan cara berpakaian. Ia sememangnya ada kebaikan namun dari satu sudut kelihatan sedikit menyukarkan. Terutama apabila dilihat dari segi pelaksanaan, ruang dakwah dan proses tarbiyah. Contoh mudah pakaian ketika ingin bersolat di masjid. Orang kita selalunya wajib berpakaian Melayu, berkain dan berkopiah lengkap untuk bersolat terutama Maghrib dan Isyak.
Dalam hal ini berlainan pula di Mesir. Lazimnya tiada pakaian khusus yang dikenakan untuk ke masjid. Malah pemuda yang memakai tshirt tetapi melazimi solat berjemaah ini lebih diawasi oleh pihak perisik kerajaan berbanding mereka yang berjubah. Ini kerana ada yang hairan dan curiga dari mana kesedaran pemuda biasa tersebut telah datang.
Jadi jangan kita terlalu memandang dengan kurang senang terhadap pemuda yang tidak berapa menjaga etika pakaian orang kita di masjid. Kesedaran solat dan ingin berjemaah itu lebih penting. Kemungkinan dia di dalam perjalanan atau urusan. Ataupun beliau masih kurang peka dan baru sahaja hadir kesedaran dalam melazimi solat berjemaah. Akan tetapi kalau sudah tahu, janganlah sengaja buat-buat sengal pakai baju bergambar Metalica di belakang.
Bercerita tentang etika berpakaian, saya sendiri sering menghadapi masalah ini di tempat kerja. Cara berpakaian dapat menentukan kedudukan seseorang samaada ia seorang pegawai atau kakitangan sokongan. Oleh kerana itu sekali sekala saya ditegur juga kerana tidak mengenakan tali leher ketika waktu di pejabat.
Bukannya tidak mahu tetapi masalah berat badan yang meningkat membuatkan sukar untuk mengancing butang baju di leher. (Bilalah nak mula makan JM5) Namun ketika bermesyuarat apatah lagi jika sebagai pegawai mewakili Jabatan, maka saya terpaksa bertali leher meskipun rimas dan terasa seperti tercekik.
Seorang rakan pernah menukar cara pakaiannya secara drastik apabila ia mengajar. Kebiasaannya beliau berpakaian sedikit ala hip hop tetapi tidaklah sampai bertopi senget. Namun ketika mengajar tutor, beliau mengenakan jubah, berkopiah dan berselendang serban di bahu. Mungkin dia ada alasan dan pandangan tersendiri mengenai cara berpakaian.
Teringat juga tiba-tiba ramai pula sibuk mengulas Forum Perdana pada Disember lepas. Kebanyakannya kerana gara-gara seorang ahli panelnya tidak menutup aurat dengan kemas dan pengacaranya pula tidak bersongkok. Maka kisah tudung tersebut, telah dijadikan modal hilang mengantuk ketika memberi tazkirah atau kuliah.
Sememangnya rasa peka itu sangat dipuji, namun masih perlu lagi kita cuba belajar sedikit meneliti. Ahli panel itu dijemput kerana beliau memegang jawatan penting dalam Majlis Aids Malaysia (MAC) dan sesuailah dengan minggu tersebut yang merupakan minggu AIDS sedunia.
Maka layaklah juga diberikan peluang untuk menceritakan usaha yang telah dilakukan dalam menangani masalah AIDS ini. Bukannya ingin bertanya hukum agama, apatah lagi meminta fatwa darinya. Ia juga adalah satu dakwah kepadanya di samping mengajak golongan yang terpinggir bagi mengikuti program yang berbentuk keagamaan.
Sebab itu JAKIM ketika itu cuba menukar format forum yang sudah taboo dengan baju Melayu bersongkok kepada pakaian yang ringkas. Malah kerusi VIP sendiri hanya kerusi merah dan bukannya sofa besar seperti kebiasaan. Bahkan pada minggu tersebut, khutbah Jumaat untuk empat masjid besar juga berkisar mengenai isu yang sama mengenai HIV/AIDS. Mungkin ada yang tidak perasan kerana terlena keletihan.
Cerita perihal HIV/AIDS, kita tidak boleh nafi ramai para ‘alimin yang masih tidak cuba mendekati golongan terpinggir ini. Malah ada yang tidak tahu, dahulunya terdapat pesakit di kalangan Muslim ini dibela oleh pihak gereja.
Namun sayang, malam penayangan itu, isi dan harapan forum yang ingin disampaikan mungkin tidak begitu sampai. Adakah atas kesilapan etika pemakaian semata-mata atau kesilapan dari sudut fokus penonton itu sendiri?
Sumber : http://tintataghyir.com
No comments:
Post a Comment