Solat Tarawih adalah suatu amalan sunat yang telah disunnah (disyariat)kan oleh Rasulullah Sallallah ‘alihi wa sallam. Sesungguhnya dalil-dalil telah menunjukkan bahawa Rasulullah Sallallah ‘alihi wa sallam tidak pernah menambah lebih daripada 11 (sebelas) rakaat pada bulan Ramadan ataupun selain Ramadan.
Abu Salamah pernah bertanya kepada Aisyah R.A tentang bagaimana solat Rasulullah Sallallah ‘alihi wa sallam pada bulan Ramadan, Aisyah menjawab “Tidak pernah Baginda menambah pada Ramadan dan tidak pada bulan lainnya lebih dari sebelas rakaat, Baginda solat empat rakaat, jangan tanya tentang baik dan panjangnya rakaat-rakat tersebut, kemudian Baginda solat empat rakaat lagi, jangan tanya tentang baik dan panjangnya rakaat-rakaat itu, kemudian Baginda solat tiga rakaat”, Aisyah kemudian berkata “Ya Rasulallah, adakah engkau tidur sebelum engkau mengerjakan witir?”, Baginda menjawab: “Sesungguhnya kedua mataku tidur, namun hatiku tidak tidur” (H.R.Al-Bukhari dan Muslim)
Ada juga riwayat (tsabit) bahawa Rasulullah Sallallah ‘alihi wa sallam solat pada sebahagian malam tiga belas rakaat, maka oleh itu mestilah memahami hadis Aisyah R.A.tadi iaitu “Tidak pernah Baginda menambah pada Ramadan dan tidak pada bulan lainnya lebih dari sebelas rakaat” dengan makna (Al-Aghlab atau kebanyakannya) supaya dapat menggabungkan hadis-hadis tersebut, dan tiada mengapa lebih daripada itu, kerana Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa sallam tidak pernahpun menghad (membatasi) solat malam, bahkan semasa Baginda ditanya mengenai solat malam, Baginda Sallallahu ‘Alaihi wa sallam menjawab: “مثنى مثنى iaitu dua, dua rakaat, maka jika di antara kamu takut (khawatir) ketibaan subuh, hendaklah dia solat satu rakaat sebagai witir bagi solat yang telah dikerjakannya” (H.Muttafaq ‘Alaih).
Jadi tiada had dan batas, sebelas rakaat atau yang lain, maka hal ini menunjukkan keluasan untuk solat malam pada Ramadan atau selain Ramadan.
Sebenarnya, hal ini sudah diketahui oleh orang ramai, namun dalam pelaksaannya masih belum kelihatan di banyak masjid dan surau di tempat kita, yang mana solat tarawih masih dilakukan dengan tergesa-gesa, Al-Fatihah dibaca dengan satu nafas, ayat-ayat tidak dibaca dengan sempurna dari sudut tajwid dan makhraj dan banyak lagi yang senada dengannya.
Aisyah R.A mengatakan "jangan tanya tentang baik dan panjangnya rakaat-rakat tersebut", memang, Rasul Sallallah 'alaihi wa sallam solat lapan rakaat, tapi lihatlah bagaimana Baginda menjaga keindahan solat itu, khasnya ketika membaca Al-Fatihah, banyak diriwayatkan bahawa Baginda membacanya dengan cara berhenti di setiap ujung ayat.
Mungkin Imam di tempat kita ada jawapan tersendiri, di antaranya; jamaah akan lari jika baca ayat panjang-panjang.
Nah lihatlah, Imam terpaksa mengikut makmum, terbalik dari yang sepatutnya, iaitu makmumlah yang mesti mengikut imam. Ayat tidaklah semestinya panjang, yang lebih penting daripada itu ialah membaca Al-Fatihah dengan baik dan sempurna, ruku' dan sujud janganlah seperti ayam mematuk padi.
Copy paste from www.anakdeli.blogspot.com
No comments:
Post a Comment