Pada hari ini saya menyelak-nyelak blog orang lain dan terjumpalah sekeping keratan akhbar. Isinya menceritakan tentang bilangan muslim masa kini telah mencecah 1.57 bilion ataupun satu daripada empat orang di bumi ini merupakan muslim. Walaupun saya tahu berita ini sudah lama, barulah kini terdetik di hati saya untuk mengulas sedikit tentang perkara ini menurut pandangan saya.
Ya, perkara begini memang sepatutnya menjadi satu berita yang menggembirakan apabila ternyata Islam diterima oleh semua pihak, lebih-lebih lagi kaum muslimin menjadi majoriti. Namun, yang menjadi masalahnya di sini apabila bilangan yang banyak tersebut tidak disertai dengan kualiti. Apalah yang menggembirakan apabila berlaku sahaja masalah social, masyarakat Islam juga yang dituduh. Bila terdapat penindasan, Islam juga yang menjadi mangsanya. Dan apabila berlaku peperangan, Islamlah pengganasnya. Semua ini sudah diterangkan dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w. riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud :
" Akan datang suatu masa dalam waktu dekat, bangsa-bangsa ( selain umat Islam ) bersatu akan mengalahkan ( memperagakan ) kamu seumpama sekumpulan manusia berkerumun berebut-rebut akan hidangan makanan di sekitar mereka. Sahabat bertanya : " Wahai Rasulullah!, apakah kerana sedikitnya kita ( umat Islam) pada waktu itu?.Rasulullah menjawab : " Bukan, bahkan kamu pada waktu itu adalah golongan teramai ( majoriti ), tetapi kualiti kamu pada waktu itu bagaikan buih-buih lautan yang di bawa oleh arus air. Allah telah mencabut dari hati musuhmu perasaan takut dari kamu dan Allah mencampakkan perasaan 'wahn' ke dalam hati kamu. Sahabat bertanya : " Wahai Rasulullah!, apa yang di maksudkan 'wahn' itu?. Rasulullah s.a.w. menjawab : " Cinta dunia dan takut mati. "
Bilangan yang ramai juga tidak semestinya cukup untuk menentang musuh jika kualiti tidak standing kuantiti. Ingatlah pada zaman Nabi s.a.w. dahulu yang mana pada awalnya mereka ditindas kerana ssedikitnya bilangan mereka, namun pada akhirnya mereka jadi umat yang digeruni dek kerana kualiti yang mereka tampilkan walaupun pada waktu itu mereka bukanlah majoriti di dunia seperti waktu kini. Malah kehebatan para sahabat telah diperakui sendiri oleh Baginda s.a.w. menerusi hadisnya riwayat Imam Muslim, daripada Imran bin Hushain:
خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ. قَالَ عِمْرَانُ: فَلاَ أَدْرِي أَذَكَرَ بَعْدَ قَرْنِهِ قَرْنَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا.
Maksudnya : Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka. Imran berkata: Saya tidak ingat sama ada (Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) menyebut 2 atau 3 kurun selepasnya.
Maka kita sewajarnya menjadikan sahabat sebagai contoh dan kayu ukur untuk kita. Tujuan saya di sini bukanlah untuk membantutkan kegembiraan kita yang telah mencapai satu perempat di dunia, namun saya lebih cenderung untuk mengajak kita semua sama-sama meningkatkan kualiti seiring dengan perkembangan kuantiti kita di dunia ini. Wallahu a’lam. Sekian…
No comments:
Post a Comment