Followers

Tuesday, November 24, 2009

SANAH HELWA!!


Rasanya, ada yang tertanya-tanya apa maksudnya tajuk entri kali ni. Tapi, mungkin ramai juga yang tahu, maklumlah ungkapan ini memang tersangat masyhur di Mesir. Selain dari 'Sanah Helwa', ucapan 'Eid Milad Sa'id' juga sesuai bila tiba masanya. Ceh3, merapu pulak kali ni. Sebenarnya, yang nak diceritakan kat sini, hari ni ; 25 November 2009, genaplah umurku 23 tahun. agak tua jugak aku ni ek.. huhu..

كل اللى فات من عمرى فات
ومش بايدنا نرجعه
خلينا اكتر فى اللى جاى
مبقاش فى وقت نضيعه


Saya amat tertarik dengan sajak ini dan memang sesuai untuk mereka yang menyambut hari lahir. Maksudnya adalah sebegini :

Setiap yang sudah berlalu, telah berlalu
Dan kita tidak mampu untuk merubahnya,
Marilah kita berusaha untuk masa yang mendatang

Tiada lagi waktu untuk dibuang

Jadi, renung-renungkan dan selamat beramal! :p Oh ya! Tak dilupakan juga ucapan Sanah Helwa @ Selamat Hari Lahir kepada ahli ghurfahku; Mohd Faizul Akmal Zainuddin dan juga sahabatku; Asfizuamry Abdul Majid yang sama-sama dilahirkan ke dunia pada 25 November 1986.

Sunday, November 22, 2009

MATI



Dalam satu wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Ibnu Umar (Abdullah) r.a. berbunyi: "Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir atau pun sebagai pengembara."

Huraiannya:

Hadis ini menganjurkan kepada kita supaya sentiasa mengingatkan mati dan mengurangkan cinta keterlaluan terhadap dunia yang fana ini.

Ibnu Umar pernah berkata: Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hinga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.

Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?

Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah, tetapi kejahatan yang kita buat semasa hidup di dunia, kesemuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah oleh para jururakam di kalangan para Malaikat, walaupun kita telah melupakannya, tetapi Allah sekali-kali tidak demikian.

Mereka yang telah pun meninggal dunia dan mendapat seksa kubur, meraung-raung minta pertolongan daripada orang yang masih hidup, terutamanya ahli keluarga terdekat, apakan daya, kita tidak mendengarnya, maka yang dibawa oleh seseorang dalam alam kubur bersamanya ialah amalannya semasa hidup di dunia satu ketika dahulu, maka fikir-fikirlah. ..

Manusia hari ini enggan bercakap tentang mati.

Ia terjadi kerana manusia pada hari ini tidak berapa mahu meletakkan urusan agama itu lebih penting daripada segala-galanya. Sebagai contoh, terkadang-kadang kita dapat lihat seorang Muslim itu dari agenda hariannya sebagai seorang yang beragama Islam, tetapi tidak berusaha untuk menampilkan diri dengan Islam itu sendiri.

Sejak mencelikkan mata bangun daripada tidur, paling tidak menunaikan solat Subuh, itupun bukan dalam keadaan berjemaah, sama ada di masjid, surau ataupun menjadi imam di rumah bersama isteri dan anak-anak.

Kalau pada hujung minggu, lepas solat tidur semula, tidak berapa terikat dengan kuliah subuh, pembacaan al-Quran, membaca zikir Ma thurat, kaunseling diri, isteri dan anak-anak, atau apa sahaja yang boleh meningkatkan peristasi iman kepada Allah SWT.

Bangun selepas itu bersarapan pagi, kemudian ke pasar atau berjalan-jalan bersama keluarga ke tempat yang boleh menghilangkan rasa gundah seminggu di pejabat. Tetapi persoalannya di sini, kenapa elemen-elemen agama tidak termuat dalam diari atau agenda harian hidup seseorang Muslim. Apakah kita sudah rasa cukup dengan ilmu yang ada di dada mengenai ilmu-ilmu yang boleh mengingatkan kita kepada alam kematian?

Ilmu agama terakhir yang dipelajari mungkin semasa menduduki peperiksaan SPM beberapa tahun lalu di sekolah menengah, kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat M.A. atau PhD. Selepas daripada itu, menjawat jawatan mantap dengan gaji yang lumayan, sibuk dengan tugas harian yang akhirnya menjadikan diri teramat sibuk. Kuliah di pejabat pun tidak boleh hadir dan begitulah kuliah-kuliah yang disediakan di surau atau masjid berdekatan di rumah.

Hati menjadi keras.

Rasulullah s.a.w. pada penghujung hayatnya, pernah memanggil menantu merangkap sepupu baginda iaitu Sayidina Ali bin Abi Talib. Baginda mewasiatkan kepadanya: Wahai Ali! Jika berlalu di kalangan orang Islam 40 hari (sahaja), mereka tidak hadir dan duduk dalam majlis ilmu (fardu Ain), maka orang itu akan menghadapi dua akibat buruk. Pertama hatinya menjadi keras (sukar untuk menerima petunjuk llah atau segala kebaikan) dan kedua berani pula melakukan dosa-dosa besar.

Insan bernama Muslim hari ini tidak berapa mempedulikan persoalan agama mereka sendiri. Sudahlah tidak mahu jadi orang yang faham agama, melakukan dosa-dosa pula. Si suami membiarkan isteri keluar rumah tanpa berhijab (tudung kepala). Si ayah pula membiarkan anak gadis tidak berhijab dan menampakkan pusat-pusat mereka. Anak lelaki tidak mengnal huruf-huruf al-Quran dan ada yang tidak tahu mandi junub (hadas besar atau mandi wajib).

Kesemua itu adalah implikasi daripada tidak hadir dan duduk dalam majlis-majlis ilmu.

Ada antara para ibu bapa Muslim seronok melihat anak-anak mereka berjaya dalam bidang hiburan, daripada menyertai bidang nyanyian peringkat dewasa hinggalah ke peringkat bakat bintang kecil. Apa yang pasti penampilan anak-anak ini dengan pakaian yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak, tetapi semua itu tidak dipedulikan oleh mereka yang bernama Islam.

Seolah-olah Islam tidak boleh dicakap-cakap jika hendak maju dalam pelbagai bidang dalam kehidupan dunia. Tetapi mereka lupa, bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda maksudnya, Sesiapa yang mahukan kejayaan di dunia, mestilah dengan ilmu (agama), jika dia mahu kejayaan di akhirat juga mestilah dengan ilmu, dan jika mahu kedua-duanya sekali mestilah dengan ilmu.

Apabila ilmu agama tidak menjadi teras dan sandaran dalam kehidupan orang Islam pada zaman ini. Maka mereka sebenarnya telah mengundang pelbagai masalah seperti terlibat dengan rasuah, keruntuhan moral serta harga diri, tidak berakhlak, meninggalkan solat, penagihan dadah, mentadbir negara bukan dengan hukum Allah, dan semua masalah itu tidak akan dapat diselesaikan kecuali menerima penyelesaiannya daripada Allah juga, iaitu pelaksanaan hukum-hukum Islam dan Sunnah (hadis) Nabi Muhammad s.a.w.

Tanpa pelaksanaan hukum-hukum Islam itu menandakan bahawa manusia menolak Allah yang telah menawarkan yang terbaik buat diri, keluarga, masyarakat dan negara mereka.

Mereka tidak akan bercakap mengenai mati, bekalan untuk hari akhirat, persoalan alam kubur apatah lagi mengenai nasib di penghujung hayat, sama ada boleh mengucap dua kalimat syahadah atau pun tidak, semua ini tidak ada dalam kamus kehidupan manusia hari ini, kerana mereka sudah semakin jauh daripada Allah walaupun mereka dilahirkan sebagai seorang muslim.

Penyelesaian masalah.

Justeru bagi menyelamatkan diri selagi terdaya untuk dilakukan, maka renungilah empat perkara di bawah ini seperti yang pernah diperingatkan oleh Imam Al-Ghazali:

Pertama: Berurusanlah dengan Allah sepertimana kamu suka orang bawahanmu berurusan denganmu dengan cara yang terbaik.

Kedua: Setiap kali kamu bekerja dengan orang lain, perbuatlah sepertimana kamu mahu diperbuat ke atas diri kamu. Kerana tidak sempurna iman seseorang selagi mana dia tidak suka orang lain memperolehi sesuatu yang dia sendiri menyukainya.

Ketiga: Jika kamu mahu mempelajari sesuatu, pilihlah untuk mempeljari ilmu yang dapat memperbaiki hati dan memperbaiki jiwa dan sanubarimu. Sekiranya kalau kamu tahu umurmu hanya tinggal seminggu sahaja lagi, sudah pasti kamu tidak akan memilih untuk mempelajari ilmu fiqh, tahudid, sirah, akidah dan sebagainya. Dan mungkin juga kamu akan mengawasi hatimu dan berusaha melepaskannya dari belenggu dunia. Kamu akan memperbaiki akhlakmu dan sibuk untuk beribadat kepada Allah SWT (selaku Penciptanmu) setiap saat. Justeru, kamu mestilah sentiasa berakhlak mulia, kerana sesungguhnya kematian itu akan datang pada bila-bila masa sahaja. Begitulah cuba kamu bayangkan, jika seorang pemimpin negara akan datang menziarahimu, sudah tentu kamu akan lakukan persiapan yang mantap, menghias rumah, memperbaiki mana-mana yang tidak betul dan bermacam-macam lagi.

Keempat: Janganlah mengumpul harta dunia lebih daripada keperluanmu untuk satu tahun.

Rasulullah s.a.w. sendiri menyediakan bekalan yang sebanyak itu sahaja untuk isteri-isteri baginda yang lebih kukuh imannya hanya dengan disediakan bekalan untuk sehari setengah sahaja. Bagi orang yang suka mengumpul harta hingga tidak sempat untuk menjenguk rumah Allah tujuan untuk beribadat kepada-Nya, maka orang itu akan disibukkan Allah SWT.
Renung-renungkanlah wahai saudara-saudaraku sekalian!

Friday, November 20, 2009

Maqam Nabi Hud a.s. (Jaulah Part 6)

Usai menjelajah di Kota Rom, kami mula mengorak langkah menuju ke destinasi yang berikutnya. Kami mula menuju ke puncak sebuah bukit yang dikatakan terletaknya maqam Nabi Hud a.s. Jalan yang agak curam agak menggerunkan ditambah pula dengan laluan yang sempit, memang menyesakkan. Namun, untuk sampai ke tempat tersebut, kami gagahkan diri juga.


Ketibaan kami di sana disambut baik oleh penjaga maqam tersebut. Beliau berkata-kata dengan lemah lembut di samping menceritakan serba sedikit tentang tempat tersebut. Rupa-rupanya maqam yang dimaksudkan bukanlah kubur Nabi Hud, tetapi sebenarnya merupakan tempat bermunajat baginda. Seperti Maqam Ibrahim yang terdapat di Kaabah; bukanlah bermaksud kubur, tetapi tempat berdiri.


Setelah melihat-lihat dan mengambil gambar, kami menunaikan solat Maghrib di situ. Sesudah melaksanakan solat, kami berbual dengan penjaga maqam tersebut beserta ahli keluarganya. Ketika itu saya mendapati yang anaknya pernah memasuki siaran tv Malaysia melalui rancangan Mawi di Bumi Anbia’. Sesudah itu, kami mula bergerak ke ‘Irbid, rumah seorang lagi sahabat kami.


Kemudian, setelah malam semakin larut, kami bergerak pulang ke panginapan kami di Mafraq. Kami perlu berehat awal pada malam itu kerana esok harinya, kami akan memulakan perjalanan ke satu kawasan yang menjadi objektif utama kami; Turki…


Bersambung..


Monday, November 16, 2009

Menutup aurat bukan sekadar pakai tudung!!


SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.

Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri. Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Aurat berasal daripada bahasa Arab, 'Aurah' yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

1. Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

2. Pakaian yang longgar.

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: "Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain 'qubtiyyah' (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: "Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu." Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: "Dan suruhlahisterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya)."

Menurut Ibn Rusyd, 'qubtiyyah' ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

3. Pakaian yang tidak jarang.

Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: "Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya."

Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

4. Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka."

5. Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: "Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."

Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

6. Tidak bertabarruj.

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatka nnya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama)." (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.

Penulis ialah Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo. com

Thursday, November 12, 2009

WAHABI??

Entry pada kali ini, ingin saya sentuh tentang satu bab yang amat sensitif. Ramai rakan saya yang bertanya tentang apakah itu wahabi? Memandangkan perkara ini amat sensitif dan mengelirukan orang ramai, saya memilih untuk berdiam diri sahaja. Tetapi memandangkan perkara ini sudah dibincangkan di dada-dada ahbar, saya memilih untuk meng’copy-paste’ kan tulisan Syeikh Muhammad Uthman el-Muhammady seperti yang tercatat pada Berita Harian baru-baru ini. Beginilah tulisannya :-

“KITA mulakan tulisan ini dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pegangan dan amalannya. Mengenai Ahli Sunnah tidak perlu kita berbicara panjang sebab ia diketahui umum. Kalau hendak disebut pun kita boleh membuat beberapa kenyataan seperti istilah itu diterima pakai oleh ulama sejak awal dengan Imam Tahawi, al-Asyari, Abu Hanifah, Imam Syafie, Baqillani, Baghdadi, al-Ghazali, al-Nawawi dan seterusnya sampai kepada Waliyullah al-Dihlawi dan Said Nursi bahkan Syeikh Hasan al-Banna dan Said Hawwa.

Bagaimanapun, boleh disebut bahawa istilah itu dalam hadis Nabi SAW yang dinukil dalam 'al-Milal wa al-Nihal' oleh al-Shahrastani dan juga dalam hadis al-Tabarani. Mengenai pegangan, kita hanya boleh sebut secara ringkas iaitu Ahli Sunnah berpegang kepada Rukun Iman yang enam, Rukun Islam yang lima, berpegang kepada ajaran akidah Imam al-Asyari dan Maturidi dan yang mengikuti mereka sampai masa kini; mereka beriman mengenai Allah memiliki sifat sempurna tidak terhisab, tetapi sekurang-kurang perlu diketahui semua orang ialah sifat ada, sedia kala, kekal, tidak menyerupai semua yang baru, berdiri sendiri, Maha Esa, hidup, mengetahui, berkehendak, mendengar, melihat dan berkata-kata dengan kalam-Nya yang kadim dan azali tidak menyerupai makhluk dalam semua perkara. Zat-Nya tidak seperti zat makhluk, perbuatan-Nya tidak seperti makhluk.

Kalau sesiapa mengatakan ia mempunyai sifat makhluk atau menyerupai makhluk, maka ia terkeluar daripada iman. Sebab itu Imam Tahawi, Syafie, Abu Hanifdah dan seterusnya menyebut Ia tidak bertempat, tidak tertakluk oleh masa, tidak berada dalam ruang. Tidak boleh dikatakan Tuhan berada di atas, di bawah, di kanan, atau di kiri, di belakang atau di hadapan, sebab ia tidak berpihak.

Dalam Ahli Sunnah, ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyebut sifat Allah seperti sifat makhluk, maka disuruh kita sama ada menerima seperti asalnya (tafwidh) menyerahkan erti hakikinya kepada Allah SWT, atau mentakwilkannya dengan sifat yang layak dengan-Nya. Ini dilakukan umpamanya oleh penghulu orang Salaf al-Tabari. Orang Wahabi menerimanya secara literal dan hakiki, kalau disebut Tuhan ada tangan, tanganlah, kalau kaki, kakilah, kalau jari maka jarilah. Ini membawa kepada menyerupakan Allah dengan makhluk. Nauzu billahi min zalik.

Seperkara lagi mereka membahagikan tauhid kepada tiga, tauhid Rububiah, tauhid Uluhiah, dan tauhid Asma Wassifat. Setiap satunya terasing daripada yang lain. Rububiah ertinya tauhid mengakui Tuhan Pencipta Alam, Esa, Berkuasa dan lainnya, tauhid Uluhiah ertinya menyembah-Nya dan taat kepada-Nya. Maka dengan skema ini, mereka boleh berkata Abu Jahal itu ahli tauhid dan ikhlas tauhidnya lebih daripada orang yang mengucap 'Lailahailallah'.

Dengan skema ini juga mereka mengkafirkan orang yang berdoa meminta keberkatan di makam salihin dan anbia dan bertawassul dengan mereka. Ini pula satu tajuk yang tersendiri huraiannya. Mengenai nabi, Ahli Sunnah mengajarkan, anbia ada sifat maksum (tidak berdosa), apa lagi Nabi Muhammad SAW dan mereka mempunyai sifat benar, amanah, menyampai kebenaran, dan bijaksana; mereka manusia yang makan dan minum serta berkahwin, tetapi mereka sempurna kerana itu diturunkan wahyu kepada mereka oleh Tuhan.

Ini diikuti dengan iman mengenai malaikat, akhirat (termasuk nikmat dan azab kubur), dan qada dan qadar yang menentukan segalanya ialah Allah, manusia diperintah berusaha dan berikhtiar dalam perkara yang baik dan mengelak daripada perkara yang jahat. Ahli Sunnah mengajarkan kewajipan mengucap syahadah dengan yakin ertinya, menjalankan sembahyang lima waktu, melakukan puasa, menunaikan zakat dan menunaikan haji bagi mereka yang berkemampuan.

Ia mengajarkan kewajipan menunaikan nazar dan sumpah. Ia mengajarkan membaca al-Quran, lebih-lebih lagi dengan mengerti ertinya, melakukan zikir mengingati Allah dan berdoa kepada-Nya. Ia mengajarkan manusia bersangka baik terhadap Allah SWT dan jangan bersangka buruk terhadapnya.

Ahli Sunnah mengajarkan bahawa dosa besar ialah sihir, mencuri, berzina, berjudi, membuat sumpah palsu, memakan rasuah, memakan riba, yang terbesar ialah syirik yang berupa dosa yang tidak terampun, melainkan sebelum mati orang yang berkenaan bertaubat dan kembali kepada tauhid. Seseorang yang beriman tidak menjadi kafir dengan melakukan dosa bagaimana besar sekalipun, ia menjadi kafir hanya kerana kufur iktikad, kata-kata atau perbuatannya seperti ia menyembah berhala, kecuali ia dipaksa seperti diancam bunuh. Orang Wahabi boleh menghukum orang kafir kerana dosa, bahkan kerana bertawassul di kubur nabi dan yang sepertinya.

Ahli Sunnah mengajarkan bahawa amalan orang hidup sampai kepada orang mati, baik dalam rupa bacaan seperti bacaan al-Quran, bertasbih, berdoa, bersedekah, dan amalan lain asalkan diniatkan untuk orang yang mati itu; kalau anak jika tidak diniatkan pun amalan itu sampai kepada kedua-dua ibu bapanya kerana ia lahir kerana mereka. Fahaman Wahabi mengatakan amalan orang hidup tidak sampai kepada orang mati. Ahli Sunnah Wal-Jamaah mengajarkan Muslimin wajib taat kepada ulil-amri mereka, tidak boleh derhaka atau keluar menentang mereka, melainkan mereka itu kafir. Orang Wahabi tidak sedemikian sebab itu mereka menentang dan memberontak menentang Sultan Othmaniah dan wakilnya, tetapi mereka berbaik dengan British dan Perancis seperti yang jelas dalam sejarahnya. Ahli Sunnah mewajibkan memberi nasihat yang baik dan ikhlas kepada ulil-amri bukan memberontak. Tidak ada teori memberontak dalam Ahli Sunnah.

Dalam Ahli Sunnah, ulamanya mengajarkan bidaah ada yang baik dan ada yang buruk, tetapi Wahabi mengajarkan semua bidaah tidak dibolehkan; talkin, berwirid ramai-ramai selepas sembahyang, qunut subuh, tahlil arwah, majlis Maulud Nabi dan membaca Yassin pada malam Jumaat.

Banyak lagi perbezaan antara fahaman Wahabi dan Ahli Sunnah jika mahu diperkatakan. Hakikatnya kita melihat fahaman Wahabi berlainan daripada pegangan dan amalan Ahli Sunnah dan kita tidak boleh membiarkan orang Islam di negara ini terpengaruh dengannya kerana banyak implikasi negatifnya. Berwaspadalah. Wallahualam.”

Jadi, itulah takrifan Wahabi yang diberikan oleh Syeikh Uthman el-Muhammadi. Perkara sebegini sememangnya agak rumit untuk dibincangkan. Bagaimana kita hendak menerangkan kepada orang awam tentang kaedah tauhid Imam Asya’ari dan Imam Maturidi. Bukankah pelajaran agama di sekolah menengah mengajarkan tentang tauhid 3 serangkai? Bahkan kebanyakan rakan saya juga menyatakan tentang pemahaman mereka tentang ayat-ayat mutasyabihat sepertimana pemahaman wahabi (menurut penerangan Syeikh el-Muhammady di atas).

Jadi, kepada rakan-rakanku yang bertanya, saya nasihatkan janganlah terlalu cepat menghukum orang lain. Saya pernah berdepan satu keadaan di mana seseorang itu dituduh wahabi hanya kerana dia memegang mikrofon ketika menjadi imam. Terdapat seorang lagi dituduh wahabi hanya kerana dia menyatakan tidak wajib membaca Yasin pada malam Jumaat. Jadi, pelajarilah agama dengan mendalam dan janganlah terlalu cepat menghukum dek kerana pendapat seseorang berbeza dengan adat. Sekian..

Wednesday, November 11, 2009

MENUJU KOTA ROM (Jaulah part 5)

Pagi 14 Februari yang amat dingin menyukarkan kami untuk keluar dari lihaf yang amat nyaman. Jordan ternyata jauh lebih sejuk daripada Mesir. Sememangnya diketahui bahawa salji turun setiap tahun di Jordan tetapi tidak di Mesir. Kami yang sememangnya tidak pernah menghadapi cuaca sesejuk itu agak sukar untuk menyesuaikan diri.


Kami duduk sahaja di rumah rakan kami tersebut memandangkan keadaan yang sedemikian. Setelah beranjak petang, barulah kami memulakan perjalanan ke destinasi kedua kami. Kami bergerak ke satu kawasan yang bernama Jarash; kawasan terletaknya satu kota Rom yang gah pada masa dahulu. Kami tiba di sana sekitar jam 3 petang.


Setelah membayar wang tiket untuk masuk ke kawasan itu, kami mula mengambil gambar. Tidak lama kemudian, kami terlihat seseorang yang berpakaian seperti tentera Rom dahulukala sedang meniup semboyan. Rupa-rupanya terdapat pertunjukan pada waktu itu.


Untuk melihat pertunjukan itu, harga yang dikenakan adalah JD 5, tetapi kerana kami yang terlewat tiba telah diberi diskaun dan hanya perlu membayar sebanyak JD 1 sahaja. Ini kerana pertunjukan tersebut hanya berbaki 10 minit sahaja.


Setelah melihat demonstrasi peperangan, perlumbaan kuda dan sebagainya, kami dibenarkan bergambar dengan para peserta demo tersebut. Bermacam-macam gambar yang diambil memandangkan memang agak sukar bagi kami mendapat peluang sebegini sekali lagi. Setelah puas bergambar, kami mula bergerak untuk melihat kawasan lain.


Ternyata kawasan tersebut memang besar kerana kami mengambil masa sekitar 2 jam untuk mengelilingi kawasan tersebut. Terdapat pelbagai pertunjukan dan panorama indah yang memang memuaskan hati para pengunjung. Rasanya memang tidak sia-sia untuk datang ke situ..


Bersambung..





























Saturday, November 7, 2009

DESTINASI PERTAMA (Jaulah part 4)

Setelah menunaikan solat Asar, kami mula bergerak. Saya yang keletihan tidak mengambil peduli ke mana hala tuju kami pada waktu itu. Perjalanan yang berbukit bukau menambahkan lagi keletihan saya. Namun saya mula tertarik tatkala mereka bertanyakan arah kepada seorang Arab, “Wen ettariq ila bahr elmayyit?” (Mana jalan ke Laut Mati?) Barulah saya tahu ke mana hala tuju kami.

Menuju ke Laut Mati ; titik terendah di permukaan bumi iaitu 420 meter di bawah paras laut membuatkan saya begitu teruja. Benarkah laut ini boleh mengapungkan orang? Benarkah kita boleh berbaring di atasnya? Perkara ini bermain-main di fikiran saya sehinggalah kami tiba di tempat itu sekitar jam 6 petang.

Setelah bergambar dan membayar tiket, kami mula mencari tempat duduk untuk menukar pakaian. Setelah siap menukar pakaian, kami mula bergerak ke arah laut. Langit yang sudah mulai gelap ditambah dengan cuaca dingin musim sejuk tidak membantutkan semangat kami. Walaupun airnya dingin bak ais, kami tetap gagahkan diri untuk mandi di situ.

Saya mulai kagum apabila terbukti air itu mengapungkan kami. Mana tidaknya, kaki kami mula meninggalkan dasar laut tersebut apabila air sampai ke paras dada. Sungguh kagum rasanya. Kami mula mencuba bermacam-macam posisi seperti baring, terlentang dan sebagainya. Setelah puas bermandi-manda, kami bergerak pula ke arah Lumpur laut mati yang dikatakan elok untuk kulit. Setelah melumurkan seluruh badan dengan lumpur tersebut, barulah kami membersihkan diri dengan air paip dan menukar semula pakaian.

Perut yang berkeroncong memaksa-maksa kami mencari makanan. Mana tidaknya, kami tidak makan sejak pagi lagi; sejak kami bergerak dari Aqabah. Kami terus bergerak ke Amman untuk makan di situ. Keletihan yang teramat sangat membuatkan saya tidur sepanjang perjalanan.

Setibanya kami di Restoran Kaherah, kami terus menempah makanan. Tempahan dibuat oleh rakan-rakan kami. Maklumlah inilah kali pertama kami makan di Jordan. Bermacam-macam menu pelik yang dapat dilihat di situ termasuklah satu menu yang tidak saya jamah langsung iaitu kepala kambing. Walaupun semua orang menyatakan keenakannya, saya tetap tidak mampu untuk menikmati juadah tersebut.

Setelah selesai makan, kami mula bergerak ke Mafraq kawasan di mana rakan-rakan kami tinggal.


Bersambung..

Friday, November 6, 2009

Kedukaan di sebalik kegembiraan..


Pada hari ini saya menyelak-nyelak blog orang lain dan terjumpalah sekeping keratan akhbar. Isinya menceritakan tentang bilangan muslim masa kini telah mencecah 1.57 bilion ataupun satu daripada empat orang di bumi ini merupakan muslim. Walaupun saya tahu berita ini sudah lama, barulah kini terdetik di hati saya untuk mengulas sedikit tentang perkara ini menurut pandangan saya.


Ya, perkara begini memang sepatutnya menjadi satu berita yang menggembirakan apabila ternyata Islam diterima oleh semua pihak, lebih-lebih lagi kaum muslimin menjadi majoriti. Namun, yang menjadi masalahnya di sini apabila bilangan yang banyak tersebut tidak disertai dengan kualiti. Apalah yang menggembirakan apabila berlaku sahaja masalah social, masyarakat Islam juga yang dituduh. Bila terdapat penindasan, Islam juga yang menjadi mangsanya. Dan apabila berlaku peperangan, Islamlah pengganasnya. Semua ini sudah diterangkan dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w. riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud :


" Akan datang suatu masa dalam waktu dekat, bangsa-bangsa ( selain umat Islam ) bersatu akan mengalahkan ( memperagakan ) kamu seumpama sekumpulan manusia berkerumun berebut-rebut akan hidangan makanan di sekitar mereka. Sahabat bertanya : " Wahai Rasulullah!, apakah kerana sedikitnya kita ( umat Islam) pada waktu itu?.Rasulullah menjawab : " Bukan, bahkan kamu pada waktu itu adalah golongan teramai ( majoriti ), tetapi kualiti kamu pada waktu itu bagaikan buih-buih lautan yang di bawa oleh arus air. Allah telah mencabut dari hati musuhmu perasaan takut dari kamu dan Allah mencampakkan perasaan 'wahn' ke dalam hati kamu. Sahabat bertanya : " Wahai Rasulullah!, apa yang di maksudkan 'wahn' itu?. Rasulullah s.a.w. menjawab : " Cinta dunia dan takut mati. "


Bilangan yang ramai juga tidak semestinya cukup untuk menentang musuh jika kualiti tidak standing kuantiti. Ingatlah pada zaman Nabi s.a.w. dahulu yang mana pada awalnya mereka ditindas kerana ssedikitnya bilangan mereka, namun pada akhirnya mereka jadi umat yang digeruni dek kerana kualiti yang mereka tampilkan walaupun pada waktu itu mereka bukanlah majoriti di dunia seperti waktu kini. Malah kehebatan para sahabat telah diperakui sendiri oleh Baginda s.a.w. menerusi hadisnya riwayat Imam Muslim, daripada Imran bin Hushain:


خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ. قَالَ عِمْرَانُ: فَلاَ أَدْرِي أَذَكَرَ بَعْدَ قَرْنِهِ قَرْنَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا.

Maksudnya : Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka. Imran berkata: Saya tidak ingat sama ada (Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) menyebut 2 atau 3 kurun selepasnya.


Maka kita sewajarnya menjadikan sahabat sebagai contoh dan kayu ukur untuk kita. Tujuan saya di sini bukanlah untuk membantutkan kegembiraan kita yang telah mencapai satu perempat di dunia, namun saya lebih cenderung untuk mengajak kita semua sama-sama meningkatkan kualiti seiring dengan perkembangan kuantiti kita di dunia ini. Wallahu a’lam. Sekian…


Thursday, November 5, 2009

SUSAHNYA! (Jaulah Part 3)

Ketibaan kami di Aqabah, Jordan setelah matahari terbenam agak menyulitkan kami. Ini kerana Jordan merupakan sebuah Negara yang malamnya ‘mati’ (sedikit @ tiada orang keluar pada waktu malam). Walaupun di Aqabah pada waktu itu masih terang, namun tiada kenderaan yang dapat membawa kami ke Amman. Ini disahkan sendiri oleh polis yang membantu kami mendapatkan visa di Jordan.


Syukurlah polis itu agak baik hati apabila sudi menghubungi rakannya untuk menghantar kami ke Amman. Setelah berbincang, bayaran yang disepakati adalah JD 40. Kami menunggu dengan sabar sehinggalah pemandu tersebut tiba.


Namun, rakyat Jordan yang kusangkakan baik itu tidaklah sebaik mana. Ini terbukti apabila mereka cuba menaikkan harga yang telah dijanjikan daripada JD 40 kepada JD 60. Kalaulah nilai Dinar Jordan itu seperti Pound mesir, mungkin itu tidak menjadi masalah. Tetapi JD 20 = USD 29 = RM 97 = LE 155! Setelah Iylia puas bertengkar dan arab tersebut tetap berdegil, kami memutuskan untuk bermalam di Aqabah sahaja.


Oleh kerana nilai matawang Jordan yang tinggi, kami tidak biasa dengan harga setiap barangan yang dikenakan. Misalnya, harga bilik bagi seorang adalah JD 4 semalam. Sungguh murah rasanya! Padahal jika diconvertkan, memang tak terjangkau dek akal. Kami tidur semalaman di sana setelah makan bekalan yang kami sediakan dari Mesir.


MENUJU AMMAN


Pagi 13 Februari yang cerah dan nyaman membuatkan kami agak terlambat bangun pada pagi itu. Setelah solat dan bersiap, kami menuju ke stesen bas yang terletak betul-betul di hadapan hotel. Bas tersebut seperti van yang panjang yang mana hanya boleh memuatkan sekitar 20 orang pada satu-satu masa.


Setelah penumpang memenuhi bas tersebut, maka perjalanan pun bermula. Dari dalam bas kami dapat melihat Bandar ‘Ilat; satu bandar milik Israel. Dapat dilihat betapa majunya bandar tersebut jika dibandingkan dengan kawasan rakyat Palestin yang serba dha’if.


Setelah melepasi pemeriksaan kastam, bas tersebut meluncur laju ke Karak. Setelah puas pejam celik (tidur), barulah kami tiba di bandar Karak. Bandar yang terletak di puncak bukit ini sungguh mengagumkan kami. Terdapat satu kubu di puncaknya, namun kami tidak berkesempatan untuk melawat kerana kami telah berjanji dengan rakan kami yang menunggu di Amman.


Kami kemudiannya menaiki bas panjang ke Amman. Sekali lagi kami menempuhi jalan yang panjang dan berliku-liku di samping perjalanan yang agak curam. Agak menakutkan apabila bas tersebut memandu dengan agak laju tanpa memikirkan keselamatan penumpang.


Tidak lama sebelum masuknya waktu Asar, kami pun tiba di Amman, ibu negeri Jordan. Sungguh maju bandar ini jika dibandingkan dengan Karak. Setelah menghubungi rakan kami, kami pun mula menunggu ketibaan mereka. Setelah lebih sejam menunggu, barulah mereka tiba dengan sebuah kereta. Mereka ialah Bukhari, Dzarif dan seorang lagi yang hanya saya kenali sebagai “Reng”.


Bersambung..

Wednesday, November 4, 2009

ALHAMDULILLAH.. (Jaulah Part 2)

Tibanya kapal pada petang itu benar-benar memberikan kegembiraan kepada kami. Setelah puas ‘melempeng’ dan kebosanan yang amat sangat, kami amat bersyukur setelah ternyata kapal yang akan membawa kami ke Jordan tiba. Maka dengan semangat yang tinggi, kami bersesak-sesak dengan pelbagai jenis manusia untuk menaiki bas yang membawa kami ke kapal.


Setelah menunjukkan tiket dan cop keluar dari Mesir, kami dibenarkan untuk menaiki kapal. Agak kasihan melihat beberapa pelancong yang tidak mendapatkan cop tersebut yang terpaksa berpatah balik. Setelah kami meletakkan beg di tingkat bawah (cuma di atas lantai), kami naik ke atas untuk mencari tempat yang selesa untuk duduk. Ternyata kapal tersebut agak mewah dan selesa, namun harga sebanyak USD 70 memang tidak berbaloi memandangkan perjalanan mengambil masa kurang 3 jam.


Kami menempah makanan yang terdiri daripada 2 biji burger dan 1 tin coca-cola dengan harga USD 3.50. Setelah menghabiskan makanan, kami mula berjalan-jalan di atas kapal. Akhirnya kami temui satu ‘port’ yang agak menarik untuk ‘melepak’ iaitu di kafe kapal. Terdapat kerusi yang agak selesa dan juga tingkap yang menampakkan panorama indah di luar sana.


Namun keselesaan kami di situ tidak kekal lama kerana kehadiran segerombolan badwi yang agak ramai cukup menyesakkan. Ditambah dengan loghat yang pelik dan perlakuan yang sedikit kasar, kami tiada pilihan melainkan terpaksa berpindah kembali ke depan. Mujurlah pada ketika itu destinasi yang dituju sudah hampir tiba. Tidak sabar rasanya hendak menjejakkan kaki ke tanah semula.


Turun sahaja dari kapal, kami tidak diberikan penerangan yang jelas untuk mendapatkan visa. Agak terkontang-kanting sedikit pada asalnya namun sempat juga kami bertenang dengan mengambil gambar. Kami mencari-cari bas yang akan membawa kami ke tempat mengambil visa. Tidak lama kemudian, barulah bas yang dicari-cari tiba.


(bersambung)


PERJALANAN BERMULA

Ramai yang pernah bertanya tentang lawatan saya ke negara-negara sekitar Mesir pada awal tahun ini. Mungkin saya tidak pernah menceritakan secara detail atau mungkin ada di antara mereka yang ingin menjejakkan kaki ke sana. Jadi di entry kali ini saya akan menceritakan secara detail tentang perjalanan saya dari Kaherah sehinggalah saya pulang semula ke situ.


PERJALANAN BERMULA


Saya agak tidak percaya yang saya akan memulakan perjalanan. Maklumlah, pejalanan yang dirancang agak mengejut. Pada asalnya, saya tidak turut serta, namun setelah dipujuk rayu oleh bedok, termakan jugak saya. Setelah siap memindahkan barang yang ingin dibawa dari Shoubra ke Rumah Negeri Sembilan Kaherah (RNSK), barulah saya sedar terdapat pelbagai barang lagi yang belum dibeli seperti makanan ringan dsb. Malah waktu itu matawang pun belum ditukar lagi. Jadi berkejaranlah saya ke sana sini untuk tujuan tersebut.


Bermulalah perjalanan kami yang disertai 4 orang (Saya, Calup, Iylia dan Bedok) dari RNSK ke Stesen Bas Dauli di Abbasiah sekitar jam 10 malam. Kami menaiki teksi dari RNSK. Agak ramai yang mengucapkan selamat jalan kepada kami termasuklah Pegawai Khas Anak-Anak Negeri Sembilan pada ketika itu, Haji Abdul Malek bin Kahar dan juga isteri.


Sampai di sana, kami menunggu bas dengan sabar dan tabah. Sempat juga saya menelefon kawan-kawan yang tidak sempat saya jumpa termasuklah kawan-kawan di Rabaah yang asalnya ingin membungkuskan makanan untuk saya. Apakan daya, masa tidak mengizinkan saya berjumpa mereka.


Setelah bas tiba, kami memulakan perjalanan dari Kaherah menuju Nuweiba’ dengan pelbagai jenis emosi yang bercampur baur. Perjalanan mengambil masa sekitar 9 jam (kalau tak silap) dan kami tiba di Nuweiba’ sekitar jam 8 pagi. Di pertengahan jalan terdapat satu situasi yang melucukan ketika mana terdapat salah seorang di antara kami yang di salah anggap sebagai perempuan dek kerana rambutnya yang panjang.


KAPAL OH KAPAL..!!


Tidak lama setelah ketibaan kami di sana, pelabuhan kapal yang akan membawa kami ke Aqabah, Jordan pun dibuka. Kami pun mula beratur dan oleh kerana barisan yang agak panjang, kami mula mempraktikkan budaya yang dipelajari di Mesir (memotong barisan.. hehe). Tidak sampai 10 minit, kami telah berjaya meloloskan diri ke dalam pelabuhan.


Kemudian, kami menunggu kapal di satu ruang di dalam bangunan. Agak ramai orang di situ kerana penumpang Launch dan Abarah ditempatkan di satu tempat yang sama (kami menaiki Launch yang harganya 70 dolar + 50 geneh). Kami menunggu kapal sehingga 8 jam. Barulah kami tahu betapa sesungguhnya penantian itu satu penyeksaan. Kami duduk, baring dan berjalan untuk menghabiskan masa. Sempat juga kami berbual dengan seorang rakyat Jordan yang telah membelanja kami teh.


Sedang letih menunggu kapal..



(bersambung..)

Related Posts with Thumbnails