Perjalanan yang agak panjang membuatkan saya terlalu bosan berada di dalam bas. Perjalanan tersebut mengambil masa kira-kira 20 jam amat memenatkan. Mujurlah bas tersebut berhenti beberapa kali sepanjang perjalanan. Dapat juga saya dan kawan-kawan melepaskan lelah dan menghilangkan lenguh setelah sekian lama bertapa di dalam bas.
Namun perjalanan ini juga memberikan pengalaman yang manis buat kami kerana pada waktu inilah kami dapat melihat salji buat di depan mata kami buat kali pertama. Ketika bas berhenti, sempat juga kami bermain salji namun tidaklah keterlaluan kerana agak segan dengan penumpang-penumpang yang lain.
Kami tiba di Istanbul sekitar jam 8 pagi. Bas tersebut menurunkan penumpang di Istanbul di dua kawasan. Maklumlah, Istanbul terbahagi kepada dua; bahagian Asia dan juga Eropah. Kami turun di perhentian terakhir iaitu di Eropah memandangkan kami akan menyewa hostel di situ. Ketibaan kami dihurung oleh para pemandu teksi yang berebut-rebut hendak membawa kami ke destinasi yang ingin kami tuju. Memandangkan perjalanan kami pada waktu itu memerlukan kami save budget, maka kami memutuskan untuk menaiki keretapi sahaja.
Sebelum menaiki keretapi, cabaran pertama kami adalah untuk mencari money changer. Agak sukar untuk mencarinya kerana tidak ramai rakyat Turki yang boleh berbahasa Inggeris atau Arab. Setelah berpusing ke sana dan ke sini, akhirnya kami berjaya menemuinya dengan bantuan seorang rakyat Turki.
Kemudian, kami perlu menaiki tren untuk menuju ke hostel kami. Sistem tren di sini menggunakan token sebagai tiket. Kami agak keliru pada mulanya kerana menyangkakan yang token tersebut adalah duit syiling. Setiap token tersebut berharga TL 1.50 (RM 3.50). Dari stesen bas tersebut, kami perlu menaiki tren bawah tanah ke stesen Aksaray. Kemudian, kami perlu berjalan sedikit untuk mencari stesen Aksaray bagi keretapi Hızlı Tramway. Agak susah juga untuk mencari stesen ini kerana kami perlu melalui jalan bawah tanah dan memanjat jejantas.
Kemudian, dari Aksaray kami menaiki tren ke stesen Sultanahmet. Di sinilah kawasan pelancongan utama di Turki kerana di sinilah terletaknya Masjid Biru, Hagia Sofia (Aya Sofia cara sebutannya), dan sebagainya. Rupanya hostel kami terletak berhampiran dengan Masjid Biru dan penempatannya agak selesa dengan harga USD 12 (RM 42) satu malam bagi seorang. Kami memutuskan untuk berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan pada petangnya.