Usai menunaikan solat, kami bergerak mencari makanan. Perut yang berkeroncong sejak dari Jordan perlu diisi. Kami melangkah masuk menuju sebuah restoran yang ditunjuk oleh Zani. Memang agak enak rasanya ditambah lagi dengan perut kami yang kosong. Makanan pada hari itu ditaja sepenuhnya oleh Zani. Bertambah-tambah nikmat rasanya. :p
Kami kemudian melangkah ke satu tempat untuk mencari baju dan seluar bundle. Oleh kerana kami sudah puas membundle di Jordan, kami hanya melihat sahaja tanpa membeli apa-apa. Oleh sebab itu, rakan-rakan Syria kami membawa kami ke satu kawasan yang bernama Souq Hamidi. Satu lagi kawasan yang pernah dilawati oleh Mawi dalam rancangan Mawi di Bumi Anbia’. Untuk makluman, saya bukanlah peminat Mawi, cuma kawasan tersebut memanglah salah satu kawasan tumpuan pelancong.
Sedang dalam perjalanan ke sana, kami bertembung dengan satu keluarga pelancong dari Malaysia. Setelah berbual-bual dan mengambil gambar, mereka mengundur diri. Namun sempat juga mereka memberikan kami beberapa keping wang Syria. Kami sangat-sangat berterima kasih kepada mereka walaupun kami tidak dapat merasakan duit itu. Hehe.
Setiba sahaja di kawasan tersebut, suasana hiruk pikuk sedang menyelubungi kawasan itu. Kawasan itu juga sangat sesak sehingga sukar untuk kami melaluinya. Rupa-rupanya terdapat perayaan Syiah yang sedang dijalankan. Mereka menepuk-nepuk dada mereka sehingga berdarah. Saya sungguh tidak sanggup dan sangat meluat melihat perayaan seperti itu. Mengapakah mereka sanggup untuk mencederakan diri sendiri? Sungguh tidak berbaloi mereka berbuat demikian.
Kemudian, kami memutuskan untuk merasa aiskrim tumbuk. Saya pun tidak tahu mengapakah aiskrim tersebut dinamakan demikian. Pada awalnya, saya tidak berselera sangat untuk menjamah aiskrim tersebut dek kerana rasanya seolah-olah dicalit dengan minyak wangi. Tetapi saya tidak sangka saya mampu menghabiskannya tanpa berkongsi dengan orang lain.
Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke hujung Souq Hamidi, di mana terletaknya sebuah masjid yang bernama Masjid ‘Umawi. Terdapat dua maqam di kawasan tersebut. Maqam Sayyidina Hussein r.a. (cucu Rasulullah) dan juga maqam Nabi Allah Yahya a.s. Di atas lantai masjid tersebut terdapat kesan-kesan darah dek kerana perayaan Syiah tadi. Dan kawasan masjid tersebut juga dipenuhi oleh puak-puak Syiah tersebut.
Selesai bergambar, kami pulang ke Medan Mujtahid untuk bersiap-siap kerana perjalanan ke Turki adalah pada malam tersebut. Kami sempat membeli makanan ringan yang agak murah di sana. Hati mula melonjak menunggu waktu untuk berangkat.
Bersambung..
No comments:
Post a Comment