Kami memulakan perjalanan pagi 15 Februari itu dengan menaiki teksi ke stesen bas. Perjalanan itu hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Setibanya kami di stesen bas tersebut, kami menaiki bas untuk menuju ke satu kawasan yang bernama Ramsa. Di sini barulah saya sedar terdapat perbezaan di antara perkhidmatan bas di Mesir dan Jordan. Jika di Jordan, mereka menunggu sehingga bas penuh, barulah mereka memulakan perjalanan. Tiada seorang pun yang akan berdiri di dalam bas. Namun di Mesir, mereka akan menyumbatkan bas itu sehingga penuh seperti tin sardin.
Di Ramsa, kami menaiki teksi untuk menuju ke Dar’a; satu kawasan di Syria. Setelah bersetuju dengan harga yang ditetapkan dan memberikan salinan passport, kami mula menuju ke kawasan tersebut. Di sempadan, kami perlu membayar JD 5 (RM 25) untuk keluar dari Jordan. Tidak lama kemudian, kami pun tiba ke Dar’a. Selepas itu, kami menaiki bas ke Dimashq ataupun lebih dikenali sebagai Damsyiq dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Setibanya di Dimashq, kami kehilangan arah sebentar kerana kami tidak tahu untuk menaiki apa ke Bulman untuk membeli tiket ke Turki. Setelah bertanya kepada seorang polis yang terdapat di situ, dia mengarahkan kami untuk menaiki sebuah kereta mewah. Setibanya di Bulman, kami membeli tiket bas untuk ke Turki dengan harga USD 100 (RM 350) untuk perjalanan dua hala.
Memandangkan perjalanan bermula pada waktu malam, dan ketika itu matahari masih memancar, maka kami memutuskan untuk singgah sebentar di rumah rakan kami yang menetap di Syria. Kami ke rumah mereka yang terletak di Medan Mujtahid dengan menaiki teksi. Setibanya kami di sana, kami di sambut oleh Zani yang membawa kami ke rumahnya. Setelah menunaikan solat, kami memutuskan untuk keluar bersiar-siar di Syria.
Bersambung..
No comments:
Post a Comment