Setelah puas kami tercongok sambil menahan kesejukan, akhirnya bas yang ditunggu pun tiba. Gembira rasa hati tatkala dikhabarkan yang kami sudah boleh menaiki bas. Ditambah lagi dengan Turki yang bermain-main di fikiran kami sejak dari Mesir lagi, sudah cukup membuatkan kami teruja. Tidak lama kemudian, bas tersebut pun memulakan perjalanan.
Menurut jadual yang diterangkan oleh penjaga kaunter bas tersebut, kami akan tiba di Antakya, Turki sekitar jam 8 pagi. Kamudian, kami perlu menunggu beberapa jam untuk menaiki bas yang seterusnya ke Istanbul. Sungguh tidak sabar rasanya. Walaupun begitu, cuma beberapa minit kemudian, saya tertidur dek kerana keletihan yang amat sangat.
Kami tiba di sempadan beberapa jam selepas itu. Cuaca pada waktu itu sangat sejuk kerana hujan baru saja berhenti. Saya menggigil kesejukan, namun kami perlu melangkah keluar untuk menyelesaikan urusan keluar dari Syria. Setelah menyelesaikan bayaran yang saya tidak ingat berapa jumlahnya, kami kembali semula ke atas bas.
Setibanya kami di sempadan Turki, kami perlu turun untuk mendapatkan visa Turki. Di sinilah berlakunya masalah paling besar sepanjang penjelajahan kami. Polis sempadan tersebut tidak mahu meluluskan visa untuk Bedok kerana katanya passport yang dibawanya adalah palsu. Setelah puas kami memujuk dan berbincang, polis tersebut tetap tidak mahu meluluskan visa tersebut.
Oleh kerana masalah tersebut telah menyebabkan bas tersebut menunggu lama, pemandu bas tersebut telah meminta keputusan dari kami, sama ada kami mahu berpecah ataupun kami semua pulang semula ke Syria. Sungguh sedih rasanya. Kalau diikutkan hati, mahu saja saya teruskan perjalanan ke Turki, tetapi saya tidak sampai hati meninggalkan Bedok keseorangan di sana. Maka, keputusan yang dicapai oleh kami, Calup dan Iylia meneruskan perjalanan ke Turki, manakala saya dan Bedok menunggu waktu pertukaran syif polis untuk mencuba nasib pada keesokan hari.
Bersambung..
2 comments:
tunjukla gmbr polis yg x bg visa bedog lepastu..
xdapek den nak nolong do..
kang ngan aku2 xlepas masuk turki
:p
Post a Comment