Video ini saya jumpa semalam apabila roommate saya membukanya di hadapan saya. Agak menarik lagunya dan liriknya mudah difahami. Terjemahannya akan saya sertakan selepas ini memandangkan kesuntukan masa. Kalau ada sesiapa yang ingin cuba menterjemahkan silalah tinggalkan terjemahan anda di comment box. I would really appreciate it.
Kehidupan itu hanyalah hari ini, sebab kemarin hanya tinggal impian, sedangkan esok hanyalah fantasi (Kalidasa)
Anak kecil selalu berangan “ketika aku remanja nanti…”
Remaja juga berangan “Ketika aku menjadi dewasa nanti… aku akan kahwin”
Yang dah berkahwinpun berkata “Bila aku dah pencen nanti…”
Yang dah pencen juga berkata “Bila aku dah benar-benar tua nanti…”
Bila sudah tua barulah dia menoleh ke belakang, diapun diserang angin yang sangat dingin. Dia telah kehilangan segala kehidupannya yang telah lalu tanpa menikmatinya walaupun hanya sedikit. Kita baru mahu belajar ketika kesempatan sudah jadi kesempitan. Sepatutnya kehidupan itu mesti dirasakan setiap saat dan setiap detik kehidupan kita sekarang. (Stephen Leacock)
Nabi saw. berpesan suatu yang lebih dari itu semua dengan sabdanya: “ Solatlah kamu seakan-akan solat itu adalah solat yang terakhir”
Orang yang berkeyakinan bahawa kehidupannya saat ini adalah hari terakhirnya, maka dia sentiasa akan memperbaharui taubatnya, akan melakukan amalan yang terbaik, akan lebih taat kepada Rabbnya dan akan sentiasa mengikuti sunnah Rasulnya. (La Tahzan)
Masuk hari ini sudah dua hari berturut-turut saya terlewat bangun subuh. Entah kenapa, sedar-sedar imam sudah memberi salam. Terasa agak rugi di situ.
Saya terus bangkit dari katil dan menuju ke bilik air untuk berwudhu' dan bersiap-siap untuk solat. Usai solat, terus saya mengejutkan ahli bait yang lain agar tidak terlepas solat subuh. Mungkin kerana tidur yang agak lewat pada malam sebelumnya atau keletihan. Selepas itu, saya membuat persediaan untuk tasmiq pada hari itu dan menghafal sedikit matan.
Saya keluar dari rumah sekitar jam 7.30 pagi untuk pergi ke kuliah yang bermula jam 8. Saya tiba di Maahad Qiraat jam 7.55. Perhimpunan sedang diadakan dan doa sedang dibaca. Mujurlah pelajar Malaysia tidak diwajibkan untuk berhimpun sekali. Kalau tidak, mungkin setiap hari saya dirotan memandangkan saya tidak pernah sampai sebelum perhimpunan bermula.
Setibanya di kelas saya melihat sudah terdapat 6 orang di dalamnya. Agak ramai juga yang datang awal hari ini. Kebiasaannya saya melihat dalam 2 atau 3 orang yang sampai sebelum saya. Saya mengambil tempat duduk di sebelah kanan memandangkan tempat duduk saya yang biasa sudah diambil oleh orang lain. Tidak lama kemudian, Ibrahim Khalis datang dan duduk di sebelah saya. Memang agak puas saya mentertawakan dia hari ini. Hehe. Oh ya! Hari ini juga merupakan birthday Syafee. Sempat juga saya wish kepadanya di kelas tadi.
Selesai sahaja kelas, saya terus ke masjid untuk tasmiq. Masjid masih gelap. Jadi saya terpaksa duduk di pintu mengharapkan sedikit cahaya untuk membaca al-Quran. Tidak lama selepas itu, makin ramai yang datang. Mujurlah saya datang awal dan tidak perlu menunggu lama untuk tasmiq.
Pada sebelah petangnya pula, terdapat kelas di MAQAZ. Saya agak lewat tiba memandangkan jalan yang agak sesak. Kami bercadang untuk menaiki teksi pada awalnya, namun kerana kami asik direject oleh pakcik-pakcik driver itu, kami gagahkan juga untuk menaiki bas. Syukurlah kelas masih belum habis lagi ketika kami tiba.
Rasanya cukuplah sampai situ. Saya sudah mengantuk dan tidak larat untuk menyambung tulisan ini lagi. Takut juga kalau-kalau terlewat Subuh untuk kali ketiga. Ya Allah, Kau berikanlahku kekuatan....
Post kali ini agak panjang, tapi insya-Allah ada manfaatnya.
Assalamualaikum warahmatullah,
Saya baca artikel ini dlm Solusi Feb (Isu #16) , suka kongsikan dengan sahabat. semoga bermanafaat.
Ustaz Hashim sedang memberikan taklimat awal kepada para peserta kursus Modul Solat yang dijalankan oleh saya dan teman-teman di Fitrah Perkasa
Malam ini saya di UIA Kuantan, untuk berkongsi ilmu dengan saudara/i kita di sana dalam tajuk: MUKMIN PROFESIONAL. Mudah-mudahan Allah akan permudahkan untuk meuar-uarkan gagasan ini.
Mukmin Profesional yang telahpun dijalankan dalam bentuk program dan modulnya sejak 7 atau 8 tahun yang lalu di pelbagai agensi korporat oleh Fitrah Perkasa Sdn Bhd. adalah satu proses “rebranding” (penjenamaan semula) imej umat Islam yang negatif di mata dunia.
Untuk anda sahabat-sahabat yang setia mengikuti kembara Gentarasa – saya ketengahkan satu tulisan untuk dijadikan bahan fikir dan zikir – solat pada pandangan bukan Islam dan orang Islam sendiri. Marilah membacanya dengan nama Allah…
SOLAT ITU BUANG MASA?
“Mengapa orang Islam banyak buang masa untuk bersembahyang?” Anda terkejut? Sudah tentu. Ini adalah soalan yang jarang kita dengar. Soalan ini ditanyakan pada saya lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika berada di Jepun. Ia diajukan oleh pelajar-pelajar Jepun yang melihat pelajar-pelajar Malaysia solat lima waktu sehari semalam.
Sebelum menjawab soalan ini, saya menyoal kembali pelajar-pelajar Malaysia yang hadir dalam majlis usrah itu:
“Mengapa soalan seumpama ini ditanyakan ketika kamu di sini, tidak di Malaysia?”
Seorang pelajar menjawab, “kerana mereka jarang melihat orang solat.”
Yang lain menjawab, “mereka menyembah berhala mereka sekali-skala. Tidak sekerap dan selama kita umat Islam.”
Saya senyum. Pelajar-pelajar itu berminat sungguh untuk mendalami Islam. Mereka mendekati Islam lebih serius berbanding ketika mereka di Malaysia dahulu. Ketika di perantauan, ramai yang kembali gigih menghayati agama sebagai perisai diri daripada kejutan budaya dan godaan persekitaran yang terlalu mencabar.
“Ada sebab lain?” tanya saya sekadar mengundang reaksi. Mereka diam. Mungkin terus berfikir.
“Orang Jepun sangat menghargai masa. Pengurusan masa mereka sangat efisien. Majoritinya tidak membuang masa…” kata saya meluahkan hasil pemerhatian secara rambang. Memang, ketika di dalam kereta api kebanyakan mereka membaca. Buku-buku dan komik banyak tersusun di bahagian atas syiling kereta api.
“Jadi bagi orang Jepun yang tidak membuang masa, 5 ke 10 minit yang kita luangkan untuk mengerjakan satu waktu solat dirasakan telah membuang masa. Sebab itu mereka bertanya, mengapa kita membuang masa. Sebab itu soalan itu timbulnya di kalangan orang Jepun. Kenapa tidak di kalangan orang kita di Malaysia? ”
“Sebab orang kita masih ramai yang membuang masa,” jawab seorang pelajar secara spontan.
Saya senyum, sambil mengangguk kepala. Bagi orang yang banyak membuang masa, apalah ertinya 5 atau 10 minit untuk solat. Bagi mereka yang suka melepak, berbual kosong, berlegar-legar di pusat membeli-belah sampai berjam-jam apalah harga masa yang sebanyak itu. Tidak jadi kudis. Namun tidak bagi orang Jepun, masa beberapa minit untuk aktiviti yang tidak penting (termasuk solat – pada pandangan mereka) sangat membazir masa.
“Apa yang saudara jawab?” tanya saya menduga. Gembira melihat mereka tercabar begitu. Kekadang kecintaan dan kefahaman kita terhadap Islam hanya timbul dengan adanya cabaran dan perlecehan.
“Susah nak jawab sebab Allah perintahkan kita. Mana mereka boleh terima jawapan yang begitu.”
“Perlu dijawab begitu. Sebab Allah, Tuhan kami perintahkan begitu.”
“ Tapi kalau ditanya lagi apa sebabnya Tuhan kamu perintahkan begitu?”
“Jawablah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya daripada hamba itu sendiri,” jawab saya.
“Mungkin mereka terima jawapan dari perspektif kita. Tapi bagaimana kalau kita nak jawab yang logik dan rasional mengikut perspektif mereka?” tanya seorang penuntut tahun akhir kejuruteraan elektrik (seingat saya).
Bagus soalan itu. Saya memang menantikan respons yang lebih kritikal dan berani.
“Tanyakan mereka, apa yang kamu buat untuk memastikan alat-alat teknologi kamu dalam keadaan yang baik? Bukankah kamu sentiasa menyelenggarakannya ? Lebih canggih alat teknologi kamu, maka semakin kerap kamu menyelenggarakannya . Kamu sentiasa buat “maintanance” kapal terbang, kereta api elektrik (“bullet train”) dan kereta kamu…” terang saya.
Pelajar-pelajar yang berjumlah 20 orang itu tidak berganjak. Hawa musim dingin kota Ibaraki itu sekali-sekala mencuri masuk melalui regangan tingkap yang terbuka. Nyaman.
“Kemudian tanyakan mereka siapa yang lebih canggih, alat-alat atau jentera teknologi yang dicipta itukah atau pun manusia yang menciptanya?”
“Tentulah manusia,” jawab mereka hampir serentak.
“Nah, kalau begitu tanyakan mereka, kalau kamu sering malah sentiasa selenggarakan alat-alat teknologi yang canggih, mengapa kamu tidak selenggarakan diri kamu yang lebih canggih?
“Mereka akan tanya, bagaimana nak selenggarakan diri kami?”
“Itu kami tidak pasti. Tetapi bagi kami orang Islam, solat adalah cara kami “maintenance” diri kami. Malang sekali kalau kamu hanya menyelenggarakan alat-alat teknologi kamu tetapi kamu lupa menyelenggarakan diri kamu sendiri.”
“Kalau mereka bertanya apakah yang dimaksudkan dengan menyelenggarakan diri pada seorang manusia?”
“Seorang itu dikatakan menyelenggarakan dirinya jika ia membersihkan hati, menstabilkan emosi dan menenangkan fikirannya. Inilah yang berlaku dalam solat yang sempurna. Seorang itu mengadu, merayu, merintih dan menyerahkan kembali segala kegalauan, keresahan dan keserabutan jiwanya kepada zat yang mampu dan mahu menyelesaikan segala-galanya. Siapa lagi kalau bukan kepada Allah!”
“Orang yang solat tidak akan sakit jiwa. Stres dan tekanan emosinya terkawal,” sampuk seorang pelajar di barisan belakang.
“Sebab itu orang Islam tidak bunuh diri walau bagaimana besar sekali pun masalah yang mereka hadapi,” tambah yang lain.
“Tidak seperti orang Jepun, kadar membunuh diri di kalangan mereka tinggi!”
“Dan ketika itulah mereka mungkin boleh disedarkan betapa solat yang beberapa minit itu bukan sahaja tidak membuang masa bahkan sangat penting sekali dalam kehidupan seorang manusia,” ujar saya sebagai satu kesimpulan.
SOLAT ITU SOAL PERIBADI?
Itu kisah orang Jepun yang bukan Islam. Sekarang mari kita ikuti kisah orang Islam sendiri dengan solat.
“Maaf, solat ini soal peribadi. Siapa yang nak buat sila, dah ada surau pun dalam bangunan ini. Siapa yang tak mahu, tak boleh paksa. Itu hal masing-masing.”
“Ya, solat tidak boleh dipaksa. Tetapi kita sebagai saudara seIslam, wajib mengingatkan. Dan saya ingin mengingatkan saudara, solat bukan soal peribadi,” tekan saya.
“Mengapa?”
“Solat itu mencegah seseorang dari kejahatan dan kemungkaran.”
“Itu saya tahu. Solat boleh mencegah kemungkaran. Saya pun selalu juga dengar kuliah-kuliah Subuh. Tapi ini dalam syarikat, kita tak perlu mengulang input-input dalam kuliah Subuh tu. Di sini kita bekerja, kita berniaga…”
“Tuan, masa kita berniaga dan bekerjalah selalunya godaan dan cabaran datang. Banyak kemungkaran dalam berniaga dan bekerja,” tusuk saya perlahan.
“Kemungkaran dalam kerja? Apa tua?”
“Ponteng, curi tulang, rasuah, melawan atasan, menindas bawahan, umpat, adu domba dan sebagainya. Kemungkaran ini bukan soal peribadi. Jika seorang melakukannya, ia memudaratkan yang lain. Lama-kelamaan ia berjangkit menjadi budaya yang negatif dalam syarikat. Ini akan menjejaskan operasi dan perjalanan syarikat secara keseluruhan.”
“Kita sudah ada undang-undang dan disiplin organisasi. Itu sebagai kawalan untuk anggota kita tidak melakukan penyelewengan.”
“Undang-undang mencegah kemungkaran dari luar tetapi solat mencegah kemungkaran dari dalam. Kita perlukan kedua-dua pendekatan. Bahkan dalam apa jua keadaan pencegahan dari dalam itu yang lebih berkesan.”
“Kenapa?” tanyanya sepatah-sepatah. Pengurus bahagian sumber manusia itu masih tidak yakin betapa pentingnya kursus pemantapan solat dilaksanakan dalam organisasi itu. Sejak dari tadi saya terkial-kial untuk meyakinkan orang Islam sendiri tentang kaedah Islam mencegah penyelewengan dan salah laku dalam syarikatnya.
“Sebab solat akan membina rasa takut, cinta dan patuh kepada Allah. Orang yang begini akan meninggalkan kejahatan dengan kerelaan hati sendiri. Ataupun jika mereka tersalah, mereka akan segera bertaubat.”
“Ah, apa pula pihak atasan kata nanti. Kita anjurkan kursus solat pula, sedangkan selama ini kita giat menjalan kursus-kursus yang memberi kemahiran profesional kepada anggota-anggota kita,” katanya berterus-terang.
“Orang atasan tidak mahukah melihat orang-orang bawahan dan seluruh kakitangan syarikat ini jadi baik? Solat sangat penting untuk membentuk manusia jadi baik.”
Dia merenung muka saya lalu berkata,”tetapi kalau baik sahaja tetapi tak tahu bekerja, buat apa?”
“Dan kalau tahu buat kerja sahaja tetapi tidak jujur, buat apa?” balas saya.
Setelah melihat dia diam, saya menambah, “sebenarnya kita perlu kedua-keduanya sekali. Pemantapan solat pun perlu, peningkatan kemahiran profesional pun perlu. Alangkah baiknya jika kedua-duanya dilaksanakan secara bersepadu dalam syarikat ini. Kita tidak ada masalah, bukankah seluruh kakitangan syarikat ini beragama Islam?”
“Kos… kos dan peruntukan latihan akan bertambah,” balasnya.
Kali ini saya pula terdiam.
“Tuan, untuk program latihan kemahiran kita rela berbelanja besar. Mengapa untuk program pemantapan nilai-nilai Islam ini kita terlalu berkira?”
“Itu soal pihak atasan…” kilasnya.
“Tuan, di atas pihak atasan ini ada yang lebih atas lagi. Allah akan bertanya kepada kita, apa yang kita laksanakan untuk mendidik orang bawahan kita. Syarikat hakikatnya sebuah institusi. Kita akan ditanya oleh Allah tentang orang di bawah pimpinan kita. Bukan soal makan-minum dan kebajikan lahiriah mereka sahaja, tetapi juga soal iman dan Islam mereka.”
“Baik tu baik. Tetapi…”
“Tuan, jika syarikat terlalu berkira dalam soal-soal tarbiah begini, saya khuatir penyelewengan, rasuah, curi tulang dan lain-lain sikap negatif yang tuan katakan mula merebak dalam syarikat ini akan bertambah kronik. Pembaziran dan penyelewengan akan memporak-perandakan operasi. Produktiviti dan kualiti akan menurun. Penjualan juga akan merosot. Pembaziran berleluasa. Rasuah pula akan menyebabkan ketirisan wang yang bukan sedikit! Ini menelan kos yang lebih berbanding kos pendidikan,” pujuk saya.
Dia termenung. Sambil menepuk-nepuk tangannya ke meja dia berkata, “insya-Allah, nantilah akan saya fikirkan dulu.”
Saya menarik nafas. Begitulah cabaran dalam berdakwah. Setelah berhujah, kita perlu pasrah menyerah kepada Allah, pohon taufik dan hidayah-Nya. Apa pun benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam adalah agama yang paling banyak disalah tafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam…. tetapi oleh orang Islam sendiri.
Di Jepun, di Malaysia atau di mana sahaja, Islam sering disalah tafsirkan. Namun jangan pesimis atau kecewa. Itu bermakna peluang dan ruang untuk dakwah sentiasa terbuka!
Sebenarnya, tak tahu apa yang hendak saya tulis di sini, tetapi memandangkan mata ini perlu berjaga sehingga 11 malam, maka dengan mata yang berat dan badan yang penat, terpaksa juga saya meluangkan masa menulis di sini. Apa yang hendak saya ceritakan agaknya ya?
Perjalanan hari ini bermula seawal jam 3 setengah pagi. Cuaca yang dingin ditambah dengan ketiadaan air panas di dalam sakhonah menggagahkan saya untuk tidak mandi pagi tadi. Hehe. Azan subuh sejam kemudian menguatkan saya untuk berjemaah di surau yang terletak hanya satu tingkat di bawah. Jemaah yang terdiri daripada anak-anak Negeri Sembilan pagi tadi agak memuaskan.
Kebosanan yang melanda memandangkan ramai yang tidur menyebabkan saya tidak sabar menanti sinar mentari. Maklumlah, kelas bermula jam 8 pagi. Jadi, mahu tidak mahu saya perlu bertolak dari Hayy Sabi’ sekurang-kurangnya sejam lebih awal untuk memastikan sampai awal di kelas. Saya sampai ke kelas sekitar jam 7.55 pagi. Agak ramai juga yang hadir pada pagi ini. Nyaris-nyaris saya tidak membaca di hadapan syeikh pada pagi ini.
Kelas tamat jam 9 setengah pagi. Memandangkan waktu yang masih awal, saya memutuskan untuk duduk di Masjid Khazindarah. Walaupun tiada teman namun saya gagahkan diri di samping untuk berehat sebelum berjalan kaki pulang ke rumah. Dalam jam 10.15 saya mula melangkah pulang dan saya sampai ke rumah sekitar 10.45. Lebih kurang setengah jam perjalanan. Mujurlah saya sudah biasa. Kalau tidak, pasti saya pulang dengan menaiki teksi sahaja.
Hari berjalan seperti biasa, namun apa yang meletihkan adalah saya sudah menetapkan untuk tidak tidur siang. Biasanya, mata saya akan kembali lelap selepas Isya’. Namun pada hari ini, terdapat seorang kakak yang dating dari Iskandariah meminta saya menjadi musyrifnya ke ‘Asyir. Maka saya terpaksalah gagahkan diri ini.
Sedar tidak sedar, jam sudah hampir menunjukkan 11 malam. Jadi saya perlu bersiap untuk ke Ramsis. Dia akan tiba sekitar jam 11. Jadi, sekian….