Mari sejenak kita berdoa agar kita terhindar dari penyakit dengki.
Ciri yang mudah dikenali dari penyakit ini adalah seseorang itu tidak suka melihat orang lain senang dan suka melihat orang lain susah. Bila dengki sudah ada dihati, maka apa sahaja yang dilakukan oleh orang yang didengki itu akan kelihatan salah, walaupun yang orang itu kerjakan adalah benar, apatah lagi kalau dia berbuat salah, maka sifat dengkinya akan makin menjadi-jadi. Dia tidak senang melihat orang yang didengki itu melakukan apapun, semua akan disangkal dan dijatuhkan.
Salah satu ciri orang yang dengki ini adalah tutur katanya yang suka menghina, mencela, memburuk-burukkan, bahkan bila orang yang didengki menunjukkan kebenaran, tanpa segan silu dia akan menzahirkan kedengkiannya menerusi kata-kata, misalnya; dia hanya seorang hipokrit, apa yang dia ucapkan tidak sama dengan perbuatannya, dia hanya mencari muka untuk mencari simpati, sebenarnya dia itu orang paling jahat di dunia.
Sifat dengki boleh menyerang semua manusia tanpa melihat kepada tingkat sosialnya. Tidak kiralah samaada ia seorang pelajar, doktor, hatta jika dia itu seorang yang menjawat jawatan yang tinggi sekalipun. Bila virus ini sudah mula merebak dalam hati, maka pelbagai kehancuran lain yang akan turut menyusul.
Antara kesan buruk sifat ini ialah :
· Sifat orang Yahudi yang dilaknat Allah, siapa yang memilikinya bererti menyerupai mereka. Allah berfirman yang bermaksud: “Ataukah mereka dengki kepada manusia (Muhammad) lantaran kurnia yang Allah telah berikan kepadanya. Sesungguhnya Kami memberikan Kitab dan hikmah kepada keluarga Ibrahim, dan Kami telah memberikan kepadanya kerajaan yang besar.” (Surah an-Nisa, ayat 54)
· Orang yang memiliki sifat hasad tidak dapat menyempurnakan imannya, sebab ia tidak akan dapat mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman salah seorang kamu sampai mencintai saudaranya sebagaimana mencintai dirinya.” (Hadis Muttafaqun ‘alaihi). Bahkan lebih parah daripada itu, orang yang hasad merasa sangat gembira bila saudaranya celaka dan binasa.
· Hasad memakan kebaikan yang dimilikinya sebagaimana api membakar kayu yang kering. Ini yang dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Jauhkanlah (oleh kamu) dengki (hasad) kerana ia akan memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” – (Hadis riwayat Abu Daud)
· Hasad mencegah pemiliknya daripada berbuat kebaikan dan manfaat. Ia selalu sibuk memikir dan melihat milik orang lain sehingga seluruh hidupnya hanya untuk memikirkan bagaimana datangnya kenikmatan pada orang lain dan bagaimana menghilangkannya.
· Hasad dapat memecahkan persatuan, kesatuan, dan persaudaraan kaum muslimin. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah saling hasad dan jangan mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah saling bermusuhan serta saling mendiamkan dan jadilah kamu bersaudara.” (Hadis riwayat Muslim)
· Hidupnya tidak pernah tenang dan tenteram, apalagi bahagia. Orang yang hasad selalu dalam keadaan gundah gulana dan resah melihat orang lain lebih darinya. Alangkah ngerinya bahaya dan kerosakan yang diakibatkan oleh dengki (hasad). Sebab itu sudah semestinya kita berusaha menanggalkan dan menghilangkannya daripada diri kita.
Jadi, memandangkan terlalu banyak kesan buruk daripada sifat ini, seeloknya kita menjauhi diri kita daripada terjangkit virus ini. Sememangnya ia merupakan satu usaha syaitan dalam menyesatkan anak Adam dan menjauhkan mereka dari jalan yang haq. Sama-samalah kita berdoa agar kita sentiasa terselamat dari tipudaya syaitan.
No comments:
Post a Comment