Followers

Sunday, April 25, 2010

HURUF TANWIN (DHOBTUL QURAN)

HURUF TANWIN

Sama ada ianya maqsur (diakhiri dengan ya) ataupun bukan maqsur (tidak diakhiri dengan ya). Adapun yang bukan maqsur sama ada ia ditulis dengan alif ataupun tidak; adapun yang ditulis dengan alif Cuma satu jenis iaitu perkataan yang mansub, hujungnya bukan hamzah ataupun ta’ tanis. Contohnya seperti عليما. Adapun yang tidak ditulis dengan alif pada hujungnya ada 4 :


1. Kalimah mansub yang akhirnya hamzah – ماء


2. Kalimah yang diakhiri dengan ha ta’nis – رحمة


3. Kalimah yang majrur – من غفور


4. Kalimah yang marfu’ – بالمؤمنين رؤوف رحيم



Adapun huruf yang ditulis dengan alif pada hujungnya, padanya terdapat 4 mazhab :



1. Meletakkan tanda baris dan tanwin di atas huruf yang sebelum alif. Inilah mazhab al-Khalil dan Sibaweih dan dipilih oleh sebahagian Masyariqah dan inilah yang diamalkan.



2. Meletakkan tanda baris dan tanwin di atas alif. Inilah yang dipilih oleh Syaikhan dan inilah yang digunapakai oleh Magharibah dan juga penduduk Madinah, Kufah dan Basrah.



3. Meletakkan tanda baris di atas huruf dan tanda tanwin di atas alif.



4. Meletakkan tanda baris di atas huruf dan ditarik ke belakang kembali serta diletakkan tanda tanwin di atas alif.


Adapun pendapat yang ketiga dan yang terakhir itu adalah lemah.




Manakala, jika sesuatu kalimah itu maqsur, maka padanya terdapat 4 mazhab sepertimana yang terdapat pada perkataan yang hujungnya alif yang baru saja kita bicarakan sama ada perkataan itu madmum, majrur ataupun mansub. Dan wajah yang terpilih dan diamalkan juga adalah sama seperti yang dibincangkan sebelum ini.



Manakala, pada kalimah yang seperti ماء padanya terdapat 3 mazhab :


1. Meletakkan hamzah selepas alif dan di atasnya tanda fatah dan tanwin. Inilah wajah yang terpilih.



2. Meletakkan hamzah selepas alif dan selepasnya diletakkan alif kecil dan diletakkan di atas alif kecil tersebut tanda fatah dan tanwin.



3. Meletakkan alif kecil sebelum alif dan di antara keduanya diletakkan hamzah, dan di atas hamzah diletakkan tanda fatah dan tanwin.



Pendapat yang kedua dan ketiga adalah dhaif.

Saturday, April 24, 2010

Isteri Solehah..

“Sayang, Abang minta izin untuk nikah sorang lagi,” Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?

Dia menghela nafas panjang.

Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia kembali kepada suaminya.



Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.



“Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga,” sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.



“Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis,” masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.



Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak. Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.



“Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu,” Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh! hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.



“Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?” pelik benar permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.



Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.



“Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang,” terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau.



“Kak Aliyah yang minta,” masih lembut dia memujuk Qis.



“Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis? Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!” terkejut Asraf Mukmin.



“Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham.”



Qistina mengalih pandangannya.



Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya. Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.



Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah agama. Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.



Tit tit… sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya.



“Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama Abang.”



Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.



Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang…



Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna coklat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana Abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.

1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abang…

2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang…

3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung…hmmm.. Aliyah sayangkan Abang…

Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.

Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, sebelum terlupa, Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang… Aliyah sayangkan Abg…

Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah… Aliyah sayangkan Abang…

Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abangg.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti canai…air tangan Aliyah.

Salam sayang,
Aliyah Najihah binti Mohd Hazery.





Tangannya pantas membuka pintu biliknya. Di situ berdiri Aliyah Najihah bersama-sama hidangan sarapan pagi kegemarannya. Dia tersenyum!



Benar, tiada isteri sehebat Aliyah isterinya!


Sekadar makluman : Cerpen ini adalah hasil copy paste!

Monday, April 19, 2010

Tanda Baris (Dhobtul Quran)

TANDA-TANDA BERKAITAN BARIS DAN TANWIN



Baris itu terdapat 3 jenis : Atas, bawah dan hadapan.



Baris atas merupakan alif kecil yang diterlentangkan yang ditarik dari kiri ke kanan. Terdapat khilaf pada kedudukannya; ada yang mengatakan ia diletakkan di atas huruf yang berbaris atas dan pendapat inilah yang digunakan, ada juga yang mengatakan ia diletakkan di hadapan huruf tersebut dan ini merupakan pendapat yang dhaif.



Adapun baris atas itu merupakan alif yang dibaringkan adalah supaya tidak terkeliru di antara baris tersebut dan alif, dan ditulis kecil adalah untuk menunjukkan kelebihan yang asal daripada pecahan.



Baris depan merupakan wau kecil dan terdapat perbezaan pendapat pada kedudukannya. Dikatakan baris ini diletakkan di atas huruf yang berbaris hadapan, dan pendapat inilah yang digunakan, ada yang mengatakan diletakkan di hadapan huruf yang berbaris hadapan dan ada yang mengatakan diletakkan pada huruf yang berbaris hadapan dan ini merupakan pendapat yang dha’if.



Adakah kepala wau kecil tadi itu dikekalkan atau tidak? Mazhab Masyariqah mengekalkan kepalanya dan pendapat inilah yang digunapakai manakala Mazhab Magharibah menghazafkannya, maka jadilah ia seperti huruf dal.



Baris bawah merupakan ya yang diterbalikkan. Dan diletakkan di bawah huruf yang berbaris bawah selepas dibuang kepala ya yang terbalik tadi dan juga dua titiknya.



Maka ketiga-tiga baris ini diletakkan pada setiap huruf yang berbaris, sama ada baris itu adalah baris I’rab, Bina’, Baniyyah, Naql ataupun penyelesaian kepada pertemuan dua sukun. Kecuali pada huruf-huruf pembukaan surah, seperti الم، طه، ق dan sebagainya; maka amalan kami ahli Masyariqah adalah dengan tidak meletakkan baris di atasnya, adapun ahli Magharibah membariskannya seperti huruf-huruf yang lain.



Sekiranya sesuatu huruf itu tanwin, ditambahkan ke atas tanda baris satu lagi baris yang sepertinya; ditambahkan di atas fathah itu fathah, kasrah pada kasrah dan dhommah pada dhommah.

Friday, April 16, 2010

Tinggalkanlah Maksiat

DOSA bukan perkara kecil. Hari ini ramai orang memandang remeh soal dosa. Sesetengah umat Islam kini bukan saja tidak takut berbuat dosa malah seronok pula melakukannya.

Menurut Ibnu Qayyim, akibat yang akan menimpa pelaku maksiat antaranya:


1. Maksiat akan menghalang diri daripada mendapatkan ilmu pengetahuan. Ilmu adalah cahaya yang dipancarkan ke dalam hati. Ketahuilah, kemaksiatan dalam hati dapat menghalang serta memadamkan cahaya itu.



2. Maksiat menghalang rezeki. Jika ketakwaan adalah penyebab datangnya rezeki, maka meninggalkan ketakwaan bererti menimbulkan kefakiran. Rasulullah s.a.w bersabda, "Seseorang hamba dicegah daripada rezeki akibat dosa yang dibuatnya." (HR Ahmad).



Justeru, kita perlu meyakini takwa adalah penyebab datangnya rezeki serta memudahkan rezeki kita. Jika saat ini kita berasakan betapa sulitnya mendapatkan rezeki Allah, maka tinggalkan kemaksiatan! Jangan kita penuhi jiwa kita dengan debu maksiat.



3. Maksiat membuat kita jauh daripada Allah. Diriwayatkan ada seorang lelaki mengeluh kepada seorang arif berkenaan kesunyian jiwanya. Arif itu berpesan, "Jika kegersangan hatimu akibat dosa, maka tinggalkanlah perbuatan dosa itu."


4. Maksiat membuat sulit semua urusan kita. Ketaatan adalah cahaya, sedangkan maksiat adalah gelap gelita. Ibnu Abbas r.a. berkata, "Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk.



5. Maksiat melemahkan hati dan badan. Kekuatan seorang mukmin terpancar daripada kekuatan hatinya. Jika hatinya kuat, maka kuatlah badannya.


6. Maksiat menghalang untuk kita taat. Orang melakukan dosa dan maksiat cenderung untuk tidak taat. Orang yang berbuat maksiat seperti orang yang satu kali makan, tetapi mengalami sakit berpanjangan.


7. Maksiat memendekkan umur dan menghapus keberkatan. Pada dasarnya, umur manusia dihitung daripada masa hidupnya. Imam Nawawi hanya diberi usia 30 tahun oleh Allah s.w.t. Meskipun hidupnya pendek, namun berkat. Kitab Riyadhush Shalihin dan Hadits Arbain yang ditulisnya memberinya keberkatan dan usia yang panjang, sebab dibaca oleh manusia dari generasi ke generasi hingga saat ini dan mungkin generasi yang akan datang.



8. Maksiat menumbuhkan maksiat lain. Seorang ulama salaf berkata, jika seorang hamba melakukan kebaikan, maka hal itu akan mendorongnya melakukan kebaikan yang lain dan seterusnya. Oleh itu, berhati-hatilah. Jangan sesekali cuba melakukan maksiat kerana ia akan menyebabkan 'ketagihan' dan sukar untuk berhenti jika ia menjadi satu kebiasaan.



9. Maksiat mematikan bisikan hati nurani. Maksiat melemahkan hati daripada kebaikan dan menguatkan kehendak melakukan maksiat lain. Itulah akibat maksiat. Tidak ada lagi rasa malu ketika berbuat maksiat. Jika orang sudah biasa berbuat maksiat, dia tidak lagi memandang perbuatan itu sebagai sesuatu yang buruk. Tidak ada lagi rasa malu melakukannya. Bahkan dengan bangga menceritakan perbuatan maksiat yang dilakukannya kepada orang lain.



Sumber : Klik Sini

Related Posts with Thumbnails