NAQT I’JAM
Iaitu tanda-tanda yang membezakan satu huruf dengan huruf yang lain, supaya tidak diragukan antara huruf yang bertitik dan huruf yang tidak bertitik.
Huruf yang bertitik ada 15 iaitu : ب، ت، ث، ج، خ، ذ، ز، ش، ض، ظ، غ، ف، ق، ن، ي
Adapun huruf ya tidak diletakkan titiknya pada 5 keadaan :
1. Apabila ia terletak di hujung. Contohnya : محياى
2. Apabila ia menjadi rumah untuk hamzah. Contohnya : لئلا
3. Apabila ia menjadi ganti kepada sesuatu huruf, sama ada di tengah atau di hujung kalimah. Contohnya : هدىهم / تهوى
4. Apabila ia dibuang dengan sebab berkumpulnya dua huruf yang sama dan ya yang dibuang itu ingin dtitulis, sama ada di tengah kalimah atau di hujung. Contohnya : النبيين / يستحيي
5. Apabila ya itu ditulis sebagai tanda kepada silah. Contohnya به كثيرا
Huruf-huruf yang tidak bertitik pula ada 13 iaitu : ا، ح، د، ر، س، ص، ط، ع، ك، ل، م، ه، و
Telah berbeza pendapat tentang siapa yang meletakkan tanda titik ini. Adapun yang paling sahihnya, ia dilakukan oleh Nasr bin ‘Asim dan Yahya bin Ya’mur di bawah perintah al-Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi, pemerintah Iraq pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Abdul Malik bin Marwan.
Sebab diletakkan tanda titik ini adalah sepertimana yang disebutkan oleh para ulama’, pembukaan negara-negara Islam yang baru telah menyebabkan ramai manusia yang bukan dari bangsa Arab menganut agama Islam dan itu telah menyebabkan pertukaran huruf / makna dalam Bahasa Arab. Ditakuti pertukaran itu akan berlaku kepada al-Quran, maka Abdul Malik bin Marwan memerintahkan al-Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi untuk melakukan sesuatu supaya hal yang ditakuti itu tidak terjadi dan juga sebagai langkah untuk menjaga al-Quran. Maka al-Hajjaj memilih Nasr bin ‘Asim dan Yahya bin Ya’mur untuk melakukan tugasan itu, dan mereka berdua pada ketika itu adalah antara ulama’ yang cemerlang dalam ilmu Qiraatdan taujihatnya, Bahasa Arab dan rahsianya, maka mereka pun meletakkan titik-titik ituuntuk membezakan satu huruf dengan huruf yang lain. Dan mereka meletakkan titik ini dengan warna yang sama dengan warna tulisan mushaf untuk membezakan tanda ini dengan tanda yang dibuat oleh Abu Aswad.
Dari sini dapatlah diketahui bahawa Naqt I’rablebih awal muncul daripada Naqt I’jam dengan sebab zaman Ziad dan Abu Aswad adalah lebih awal daripada zaman al-Hajjaj dan Nasr bin A’sim dan Yahya bin Ya’mur.
Skop perbincangan Ilmu Dhobt : Tanda-tanda yang terdapat pada sesuatu huruf sama ada meletakkan baris atau tidak, tempatnya, warnanya dan sebagainya.
Faedah Ilmu Dhobt : Menghilangkan keraguan pada sesuatu huruf, maka tidak bercampur yang bersabdu dan yang tidak bersabdu, yang tidak berbaris dan yang berbaris dan juga yang berbaris atas dengan yang berbaris bawah atau depan.
Tanda-tanda yang diletakkan pada huruf ada 5 : Baris, Sukun, Sabdu, Mad dan Hamzah.
Bagi setiap tanda ini ada keadaan, warna dan tempat yang khusus dan akan diperbincangkan pada tajuk-tajuk yang akan datang, insya-Allah.
Perbezaan antara Ilmu Rasm dan Ilmu Dhobt :
1. Adapun Rasm membincangkan tentang cara-cara untuk memulakan bacaan pada satu-satu kalimah dan bagaimana untuk waqaf kepadanya. Dengan sebab itulah ditulis Hamzah Wasal dan dihazafkan nun tanwin. Contohnya محمد رسول الله. Adapun Dhobt membicarakan tentang penjagaan bacaan ketika wasal kecuali pada beberapa tempat yang akan diterangkan. Dengan sebab itu, tidak ditulis sukun pada nun من ربهم untuk menunjukkan yang ia diidghamkan ketika wasal.
2. Rasm berkaitan dengan huruf-huruf yang terdapat dalam satu kalimah, sama ada ditulis atau dihazafkan, manakala Dhobt membincangkan tentang apa yang mendatang kepada huruf itu sama ada baris, sukun, sabdu dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment